Berita perlu mendahului maklumat media sosial

Opinion
15 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Berita perlu mendahului maklumat media sosial

Wartawan dan media konvensional berdepan risiko kehilangan relevansi sekiranya masih sekadar ‘mengitar semula’ kenyataan yang sudah tersebar di media sosial tanpa memberikan perspektif serta makna kepada pembaca.

Bekas editor dan aktivis kebebasan media, Fathi Aris Omar berkata, dunia media sudah berubah jauh, namun pendekatan sebahagian organisasi masih terperangkap dengan format lama.

Menurutnya, masyarakat hari ini tidak perlu menunggu akhbar atau berita televisyen untuk mengetahui kenyataan seseorang pemimpin kerana maklumat berkenaan sudah boleh diperoleh serta-merta menerusi media sosial.

“Agensi media menjadi relevan apabila dia boleh bersaing dengan media sosial. Jadi, kita kena kenal pasti apa kekuatan dan kelebihan media sosial berbanding format media dahulu.

“Berita secara ‘straightforward hard news’ sudah tidak relevan kerana orang tidak memerlukannya lagi,” katanya.

Fathi berkata, masalah menjadi lebih ketara apabila media hanya memecahkan kenyataan daripada beberapa individu menjadi berita berasingan, sedangkan pembaca memerlukan penjelasan mengenai kaitan dan implikasi daripada semua perkembangan tersebut.

Katanya, masyarakat kini sudah ‘lemas’ dalam banjiran maklumat dan nilai seorang wartawan sepatutnya terletak pada kemampuan menyaring, menghubungkan serta memberikan makna kepada maklumat berkenaan.

“Kita duduk dalam banjiran maklumat. Semua orang bercakap dan kita pula laporkan secara berasingan. Itu silap kita.

“Orang sekarang berminat kepada mereka yang boleh menggabungkan dan memberi makna kepada maklumat,” katanya.

Fathi turut mempersoalkan nilai media konvensional sekiranya kebebasan yang dimiliki tidak diterjemahkan kepada kewartawanan berkualiti seperti laporan penyiasatan, laporan mendalam, fotografi, videografi dan wacana awam yang lebih baik.

“Apa tujuan kebebasan media? Supaya dia dapat menghasilkan produk berkualiti, fotografi, videografi, public discourse, reportage dan investigative reporting yang bagus.

“Kalau tiada, apa guna kebebasan media?” katanya.

Dia turut menyifatkan media konvensional dalam sesetengah keadaan sudah ketinggalan berbanding media sosial apabila gagal menyiasat persoalan besar yang menjadi tanda tanya masyarakat.

Mengambil contoh insiden kebakaran di Putra Heights, Fathi berkata, media sepatutnya menyiasat persoalan yang timbul dan memenuhi rasa ingin tahu masyarakat.

“Media tidak menyiasat, kita tunggu laporan polis sahaja. Tidak memenuhi rasa ingin tahu orang ramai sedangkan pelbagai dakwaan tersebar, itu salah media,” katanya.

Fathi berkata, wartawan juga tidak boleh terlalu tenggelam dalam rutin mengejar berita harian.

Katanya, wartawan perlu bertanya apa sebenarnya maksud di sebalik sesuatu kenyataan, membaca data serta menghubungkan perkembangan semasa dengan latar belakang sesuatu isu.

“Wartawan melayan benda yang memenatkan sehingga tenaganya habis. Sebenarnya kenyataan ini maksud apa?

Menurut Fathi, masa depan kewartawanan bukan lagi sekadar berlumba menjadi pihak yang paling cepat melaporkan sesuatu kenyataan, sebaliknya menawarkan sesuatu yang tidak boleh diperoleh pembaca hanya dengan membuka media sosial.

“Setakat berita secara langsung, semua media sudah laporkan. Kita perlu terus interpretasi, kumpulkan maklumat dan beri perspektif yang lebih besar,” katanya.

The post Berita perlu mendahului maklumat media sosial appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved