Bekas Wedding Planner Zurin Jundi Meninggal Dunia, Isu Hutang Kembali Diperkatakan — Ada Yang Rela, Ada Yang Tidak

LocalLifestyle
30 Apr 2026 • 7:21 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Bekas Wedding Planner Zurin Jundi Meninggal Dunia, Isu Hutang Kembali Diperkatakan — Ada Yang Rela, Ada Yang Tidak

KUALA LUMPUR – Tular satu perkongsian di platform Threads oleh pengguna @faiqahmfauzi yang memaklumkan bekas perancang perkahwinan, Zurin Jundi, telah meninggal dunia.

Menerusi hantaran tersebut, individu yang mendakwa pernah bekerja sebagai jurusolek di bawah butik milik arwah turut memohon agar orang ramai, khususnya mangsa terdahulu, dapat menghalalkan segala hutang yang masih belum diselesaikan.

“Salam, dukacita dikhabarkan bekas wedding planner Zurin Jundi telah kembali ke rahmatullah. Saya sebagai makeup artist yang pernah bekerja di bawah butik arwah ingin mewakili arwah supaya mohon dihalalkan segala hutang-hutang beliau atas kesilapan terdahulu.

“Majlis perkahwinan saya juga dari butik arwah, arwah buat sehabis baik, namun tersilap percaturan bisnes menjadi teruk dan ramai pengantin menjadi mangsa. Moga kita halalkan segalanya, insya-Allah ada balasan untuk kita,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, individu tersebut menjelaskan bahawa dia bukan waris kepada arwah, sebaliknya hanya menyampaikan maklumat sebagai ahli kariah di kawasan tempat tinggal Zurin.

“Macam mana saya tahu dah meninggal? Arwah ialah ahli kariah tempat saya. Saya bukan waris dan tak paksa pun mangsa-mangsa untuk halalkan hutang.

“Saya cuma sampaikan sahaja yang Zurin Jundi dah meninggal dunia. Yang tak nak halalkan pun tak apa, saya tak ada kena mengena,” katanya lagi.

Kes Pernah Tular, Dakwaan Tipu Pakej Perkahwinan

Terdahulu, nama Zurin Jundi pernah menjadi perhatian sekitar tahun 2017 selepas didakwa memperdaya pelanggan melalui tawaran pakej perkahwinan murah yang gagal dipenuhi.

Kes berkenaan turut dilaporkan sehingga ke peringkat mahkamah susulan pertuduhan penipuan melibatkan beberapa mangsa.

Menurut perkongsian itu lagi, arwah juga dilaporkan berdepan masalah kesihatan pada awal 2024 apabila diserang strok ringan sebelum menjalani pembedahan jantung.

Sementara itu, ruangan komen hantaran berkenaan dibanjiri pelbagai reaksi netizen. Ada yang bersimpati dan mendoakan urusan arwah dipermudahkan, namun tidak kurang juga yang masih berkecil hati dengan kerugian dialami.

“Salam takziah. Saya ingat kes ini dulu, arwah pernah viral isu hutang. Bisnes jatuh dan dia cuba jual macam-macam termasuk ebook untuk langsai hutang, tapi mungkin terlalu banyak,” kata seorang pengguna.

“Jika ada waris, semoga urusan hutang dapat diselesaikan segera. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” tulis seorang lagi.

Namun, terdapat juga mangsa yang enggan menghalalkan hutang tersebut.

“Halal? Saya tak akan halalkan. RM10,000 bukan RM10. Saya akan tuntut di akhirat nanti,” luah seorang netizen.

Seorang lagi turut menyatakan bahawa hutang bukan perkara mudah untuk dihalalkan dan berharap segala urusan arwah dipermudahkan di alam sana.

Perkongsian itu terus mengundang perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya berkaitan isu tanggungjawab hutang dan keadilan kepada mangsa. – The Malaysian Update

The post Bekas Wedding Planner Zurin Jundi Meninggal Dunia, Isu Hutang Kembali Diperkatakan — Ada Yang Rela, Ada Yang Tidak appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article