Bekerja atau dikerjakan?

OpinionHealth & Fitness
29 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bekerja atau dikerjakan?

ALAM pekerjaan menjadi impian selepas seseorang menamatkan pendidikan dan melalui pelbagai cabaran akademik. 

Mendapat tempat dalam sesebuah organisasi dianggap pencapaian penting, khususnya bagi golongan muda yang mahu membina kerjaya, membantu keluarga dan menyumbang kepada negara. Semangat serta dedikasi yang dibawa sejak awal sepatutnya menjadi kekuatan untuk berkembang dalam dunia profesional.

Namun, realiti pekerjaan hari ini tidak semestinya seindah yang diharapkan. Kemajuan teknologi mengubah cara manusia bekerja. 

Jika dahulu rutin berakhir selepas waktu pejabat, kini tugasan, arahan dan komunikasi boleh hadir pada bila-bila masa. E-mel, aplikasi pesanan dan mesyuarat dalam talian menyebabkan sempadan antara kerjaya dengan kehidupan peribadi semakin kabur.

Keadaan tersebut boleh mencetuskan kelesuan melampau. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf kelesuan melampau sebagai fenomena pekerjaan akibat tekanan kronik di tempat kerja yang tidak berjaya diuruskan.

Dalam persekitaran yang sentiasa menuntut prestasi tinggi, pekerja bukan sahaja kehilangan tenaga fizikal, malah berdepan keletihan emosi dan mental.

Fenomena kesalinghubungan berlebihan pula mewujudkan keadaan pekerja sentiasa berjaga-jaga. Arahan yang masuk lewat malam, tugasan pada hujung minggu atau mesej ketika bercuti menghakis ruang untuk berehat. Lama-kelamaan, keadaan ini menjejaskan keseimbangan kehidupan dan pekerjaan serta boleh mengurangkan produktiviti.

Lebih membimbangkan ialah keadaan apabila pekerja yang cekap menerima beban tambahan kerana dianggap mampu melaksanakannya.

Keadaan ini tidak wajar menjadi ‘hukuman’ kepada mereka yang menunjukkan prestasi baik. Jika berterusan, pekerja berkualiti boleh mengalami keletihan, hilang motivasi dan akhirnya memilih untuk meninggalkan organisasi.

Budaya kerja turut dipengaruhi gaya kepimpinan. Kawalan keterlaluan, sikap terlalu autoritarian, pilih kasih, buli serta kurangnya sokongan psikologi boleh mewujudkan persekitaran yang toksik. Pemimpin perlu mengejar sasaran tanpa mengabaikan kebajikan manusia yang menggerakkan organisasi.

Persoalan ‘bekerja atau dikerjakan’ bukan lagi sekadar ungkapan. Pekerja bukan robot, sebaliknya aset penting kepada kemajuan negara. Sudah tiba masanya organisasi membina budaya kerja yang lebih seimbang, manusiawi dan mampan.

Jika kesejahteraan tenaga kerja terus diketepikan, negara berisiko kehilangan bakat terbaik kepada pasaran luar. Kemajuan sebenar bukan sekadar diukur melalui keuntungan dan produktiviti, tetapi juga kemampuan memastikan mereka yang bekerja terus memiliki kesihatan, maruah dan kehidupan yang seimbang. –UTUSAN

 

SHERILYN EMARIZA  SHARIFFUDDIN

Kuala Lumpur

 

The post Bekerja atau dikerjakan? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved