Diam bukan bererti tiada rasa

Opinion
29 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Diam bukan bererti tiada rasa

DILIHAT tenang, belum tentu hati tidak berperang. Diam bukan bererti tiada rasa, manakala senyuman tidak semestinya menggambarkan segala-galanya baik. 

Dunia pekerjaan sering dilihat sebagai ruang membina kerjaya, mengejar kejayaan dan mencari rezeki. Namun, di sebalik meja kerja, mesyuarat, tugasan serta pencapaian yang tercatat dalam laporan, terdapat sisi manusia yang jarang dibicarakan secara terbuka, iaitu emosi pekerja.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila organisasi melalui proses rasionalisasi. Dari sudut pengurusan, langkah ini mungkin bertujuan menyusun semula struktur, meningkatkan kecekapan atau mengurangkan kos. 

Namun, bagi pekerja, perubahan tersebut membawa persoalan besar tentang kedudukan, masa depan dan nilai diri. Ketidakpastian sedemikian membuatkan ramai memilih untuk berhati-hati sebelum menyuarakan pandangan.

Ada yang tidak bersetuju dengan keputusan tertentu tetapi mengambil pendekatan berdiam diri kerana bimbang dianggap mencabar arahan. 

Ada pula yang terluka dengan kata-kata atau tindakan rakan sekerja, namun memilih untuk memendam demi mengelakkan keadaan bertambah tegang. Dalam suasana yang sudah dibayangi kebimbangan kehilangan pekerjaan, perkara kecil juga boleh terasa lebih berat.

Kadangkala, seseorang sukar memahami emosi yang sedang dilalui. Marah, kecewa, sedih, penat dan terkilan bercampur sehingga sukar diluahkan. Bukan kerana mereka lemah tetapi terlalu banyak perkara perlu difikirkan sebelum membuka suara. 

Mereka mungkin bimbang pandangan yang diberikan dianggap sebagai rungutan, sedangkan niat sebenar adalah untuk memperbaiki keadaan.

Dalam organisasi, setiap individu membawa latar belakang, pemikiran, pengalaman dan cara bekerja yang berbeza. Ketika syarikat melakukan penyusunan semula, perbezaan tersebut menjadi semakin jelas kerana setiap orang cuba mempertahankan peranan serta sumbangan masing-masing. Dalam keadaan begini, kematangan amat diperlukan.

Kematangan profesional bukan sekadar mengetahui bila perlu bersuara tetapi juga memahami cara menyampaikan pandangan tanpa menjatuhkan orang lain atau merendahkan maruah diri. Namun, profesionalisme tidak sepatutnya bermaksud pekerja perlu menerima segala-galanya tanpa ruang untuk bertanya, memberi pandangan atau menyatakan kebimbangan.

Organisasi yang sihat bukanlah tempat yang bebas daripada konflik dan perbezaan pendapat. Sebaliknya, menyediakan ruang selamat untuk warga kerja membincangkan keresahan secara terbuka, matang dan berhemah. 

Dalam hal ini, pemimpin memainkan peranan penting. Pekerja tidak semestinya memerlukan pujian besar. Kadangkala mereka hanya mahu pandangan didengar dan usaha dihargai, bukan semata-mata diukur melalui angka produktiviti.

Perlu difahami pekerja yang masih bersuara sebenarnya masih mengambil berat. Mereka cuba mencari jalan penyelesaian kerana mahu melihat organisasi terus berkembang. Namun, apabila pandangan berkali-kali tidak mendapat perhatian, seseorang boleh memilih untuk diam. Bukan kerana sudah bersetuju tetapi kerana letih menjelaskan atau bimbang suara sendiri membawa kesan terhadap kedudukan mereka.

Justeru, apabila pekerja yang dahulunya aktif memberi pandangan tiba-tiba menjadi pendiam, jangan terlalu cepat menganggap mereka sudah tiada masalah. Mungkin mereka sedang berdepan sesuatu yang belum mampu dilafazkan.

Rasionalisasi mungkin diperlukan bagi memastikan kelangsungan sesebuah organisasi tetapi cara pelaksanaannya turut mencerminkan nilai kepimpinan. Kecekapan, produktiviti dan kawalan kos perlu bergerak seiring dengan kebajikan warga kerja.

Akhirnya, organisasi dibina bukan hanya melalui sistem, prosedur dan polisi tetapi oleh manusia yang menggerakkannya. Pekerja yang berasa dihargai akan lebih mudah memberikan komitmen, meskipun berdepan suasana tidak menentu. Tidak semua emosi perlu diluahkan, tetapi setiap manusia tetap memerlukan ruang untuk didengar. Kadangkala, diam bukan tanda sudah tidak peduli, sebaliknya tanda seseorang sedang belajar menerima sesuatu yang tidak mampu diubah. –UTUSAN

 

DR. NOR AZIAH AHMAD & DR. MOHD. ZULFAKAR MOHD. NAWI

Pensyarah Kanan,

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

The post Diam bukan bererti tiada rasa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved