Graduan perlu kuasai pelbagai kemahiran

Business & Finance
20 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Graduan perlu kuasai pelbagai kemahiran

REALITI dunia pekerjaan hari ini menunjukkan pencapaian akademik yang baik belum tentu menjamin seseorang graduan mampu menyesuaikan diri dan bertahan dalam kerjaya.

Masih terdapat majikan yang berdepan graduan yang kurang berdikari, mudah berputus asa, sukar menerima teguran atau cepat mengalah apabila berhadapan cabaran.

Keadaan ini sering melahirkan persepsi terhadap kewujudan ‘graduan manja’ dalam kalangan pencari kerja baharu. Mereka dikatakan terlalu bergantung kepada arahan, terlalu memilih pekerjaan atau tidak mampu menghadapi tekanan di tempat kerja. Persoalannya, apakah yang sebenarnya kurang dalam diri mereka?

Jawapannya bukan semata-mata pada kelayakan akademik tetapi keupayaan menguasai pelbagai kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

Dalam pasaran kerja yang semakin dinamik, majikan memerlukan individu yang bukan sahaja berpengetahuan dalam bidang masing-masing, malah mampu berkomunikasi, bekerjasama, menyelesaikan masalah, mengurus tugasan dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

Majikan masa kini tidak lagi menilai graduan berdasarkan purata nilai gred kumulatif atau sijil semata-mata. Kemahiran komunikasi menjadi antara kelebihan utama, khususnya penguasaan bahasa Inggeris yang masih banyak digunakan dalam urusan perniagaan, teknologi dan hubungan antarabangsa.

Graduan juga perlu memiliki kebolehan memimpin dan bekerja dalam pasukan. Seseorang tidak semestinya perlu memegang jawatan ketua untuk menunjukkan ciri kepimpinan. Kesediaan mengambil tanggungjawab, membantu rakan, membuat keputusan dan menyelesaikan tugasan dengan amanah sudah menunjukkan kematangan tersebut.

Kemahiran menyelesaikan masalah pula semakin penting kerana dunia pekerjaan tidak menyediakan jawapan bagi setiap persoalan. Graduan perlu berfikir secara kritis dan kreatif, mencari pilihan terbaik serta bertindak secara proaktif tanpa sentiasa menunggu arahan.

Pada masa sama, penguasaan kemahiran teknikal dan digital menjadi pelengkap penting. Keupayaan menggunakan perisian, menganalisis data, mengendalikan teknologi serta memahami perkembangan baharu dapat meningkatkan nilai seseorang dalam pasaran kerja.

Universiti menyediakan ruang luas untuk pelajar membentuk pelbagai keupayaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Penglibatan dalam persatuan, kegiatan kokurikulum, kerja sukarela, pertandingan inovasi dan projek berkumpulan dapat membina keyakinan diri, kepimpinan serta kemahiran berkomunikasi.

Latihan industri dan kerja sambilan pula memberi pengalaman berharga tentang budaya kerja sebenar. Melalui pendedahan tersebut, pelajar belajar mengurus masa, mematuhi peraturan, berinteraksi dengan pelanggan dan bertanggungjawab terhadap tugasan.

Kursus serta pensijilan tambahan dalam bidang teknikal dan digital juga boleh meningkatkan daya saing. Selepas tamat pengajian, proses pembelajaran tidak seharusnya terhenti. Peningkatan kemahiran dan pembelajaran semula perlu diteruskan supaya graduan sentiasa mengikuti perubahan teknologi serta keperluan pasaran.

Isu ‘graduan manja’ tidak wajar dilihat sebagai kelemahan individu semata-mata. Graduan perlu mengubah mentaliti daripada sekadar mengejar sijil kepada usaha membina keupayaan diri yang benar-benar diperlukan majikan.

Daya tahan juga penting untuk membina kerjaya yang kukuh. Tekanan, teguran, kegagalan dan tugasan mencabar merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Tidak semua kesukaran bermaksud sesuatu pekerjaan itu tidak sesuai. Sebaliknya, pengalaman tersebut boleh menjadi ruang untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kematangan.

Dalam hal ini, institusi pendidikan dan pihak industri juga perlu memperkukuh kerjasama. Pendedahan kepada projek sebenar, latihan praktikal serta keperluan semasa tempat kerja dapat membantu merapatkan jurang antara pembelajaran di bilik kuliah dengan realiti kerjaya.

Akhirnya, graduan yang menjadi pilihan industri bukan semestinya mereka yang memperoleh keputusan akademik tertinggi tetapi individu yang mampu menggabungkan ilmu, kemahiran dan sikap positif.

Penguasaan pelbagai kemahiran bukan lagi sekadar nilai tambah, sebaliknya menjadi keperluan untuk kekal relevan dalam pasaran kerja. Graduan perlu berani keluar daripada zon selesa, bersedia menerima teguran dan terus belajar sepanjang hayat.

Dengan ilmu yang kukuh, kemahiran yang pelbagai serta ketahanan diri yang tinggi, graduan bukan sahaja lebih bersedia memasuki dunia pekerjaan, malah mampu berkembang sebagai tenaga kerja berkualiti yang menyumbang kepada kemajuan organisasi dan daya saing negara. –UTUSAN

DR. ANIM ZALINA AZIZAN
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

The post Graduan perlu kuasai pelbagai kemahiran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved