Bekerja di pusat peranginan haram: Tujuh pelancong China salah guna pas lawatan ditahan di Semporna

11 Nov 2026 • 8:35 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Bekerja di pusat peranginan haram: Tujuh pelancong China salah guna pas lawatan ditahan di Semporna

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menangkap tujuh pelancong lelaki dari Republik Rakyat China (RRC), yang disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka, dengan bekerja di sebuah premis pelancongan membabitkan pusat peranginan yang dipercayai beroperasi secara haram di Semporna.

Mereka antara 32 tahanan warga asing yang diberkas dalam Ops Wilayah JIM Sabah yang dijalankan menerusi Ops Jaja, Belanja, Kutip, Sapu dan Mahir selama dua hari bermula Ahad di dua daerah iaitu Tawau dan Semporna.

Pengarah Imigresen Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata pasukannya melakukan pemeriksaan dokumentasi terhadap enam premis serta 324 individu sepanjang operasi itu yang meliputi 159 warga tempatan, 42 warga Indonesia dan 17 warga Filipina di Tawau pada Ahad.

“Kita menahan 24 warga asing yang terdiri daripada 14 rakyat Indonesia dan 10 rakyat Filipina di Tawau,” katanya, di sini, pada Selasa, sambil mengesahkan pemeriksaan serupa terhadap 106 individu di Semporna pada Isnin pula membawa kepada penahanan lapan warga asing.

Menyentuh berhubung kejayaan yang dicapai oleh pasukannya di Semporna juga, beliau berkata selain penahanan tujuh warga China dalam operasi berkenaan, pasukannya turut berhasil menahan seorang lelaki warga Filipina di kawasan pasar.

Menurutnya tujuh pelancong warga China terbabit dikesan melanggar peraturan penggunaan pas lawatan sosial semasa pasukannya menjalankan pemeriksaan di sebuah premis pelancongan membabitkan pusat peranginan.

“Pada mulanya seramai sembilan rakyat China dan lima warga tempatan diperiksa di pusat peranginan terbabit.

“Siasatan lanjut mendapati premis itu tidak mempunyai permohonan ekspatriat, disewa di tanah berkeluasan 4.4 ekar, tidak mempunyai lesen Majlis Daerah Semporna dan tidak memiliki lesen pengendalian pelancongan,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan turut dijalankan di sebuah syarikat pembinaan yang memiliki enam pekerja ekspatriat di Batu 1 1.5 Jalan Bubul, namun pihaknya mendapati status lanjutan semua pekerja itu adalah sah dan mematuhi syarat ditetapkan bagi tujuan pembangunan projek komersil fasa kedua.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan penahanan terhadap kesemua terlibat dalam operasi itu dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Kesemua tahanan sudah dibawa ke Pejabat Imigresen Tawau untuk tindakan susulan.

“Kita mengingatkan semua majikan supaya mematuhi prosedur-prosedur pengambilan pekerja warga asing dan memastikan segala dokumen pekerja khususnya yang melibatkan aspek kelulusan daripada pihak berkuasa adalah sah dan berdaftar,” katanya.

Dalam operasi dua hari yang diketuai Saleha itu, JIM Sabah menggerakkan seramai 60 pegawai di Tawau dan 42 pegawai di Semporna serta turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan di peringkat negeri dan daerah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved