Belanjawan 2024: Had caruman i-Saraan, i-Suri KWSP dinaikkan 

13 Oct 2023 • 7:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2024: Had caruman i-Saraan, i-Suri KWSP dinaikkan

zulfadli

13/10/2023 - 19:27

KUALA LUMPUR 13 Okt - Had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan dan i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), masing-masing ditingkatkan mulai tahun hadapan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu ditingkatkan menerusi sebahagian pendapatan yang diraih hasil penjualan nombor plat khas bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Katanya, had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada RM500 setahun terhad kepada RM5,000 seumur hidup.

"Manakala, had caruman di bawah program i-Suri KWSP ditingkatkan kepada RM300 setahun terhad kepada RM3,000 seumur hidup.

"Selain itu, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah akan diteruskan dengan peruntukan RM50 juta memanfaatkan lebih 400,000 suri rumah wanita yang berdaftar di bawah e-Kasih.

"Atas dasar kasih dan sayang, program i-Sayang KWSP akan diperluas untuk turut membolehkan isteri memindahkan 2% caruman KWSP syer pekerja kepada suami," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Anwar, akaun ahli KWSP akan distrukturkan semula untuk memperkasa simpanan persaraan dengan memperkenalkan Akaun Fleksibel KWSP sebagai akaun baharu yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa.

image is not available

Selain itu, kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi untuk manfaat lebih 40,000 beliadaripada keluarga kurang mampu.

Beliau berkata, sebanyak 100,000 topi keledar termasuk untuk kanak-kanak dibekalkan untuk diagih secara percuma kepada keluarga kurang mampu.

"Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan ikhtiar FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman. Tahun hadapan, ikhtiar FLYsiswa akan diteruskan untuk manfaat hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu," katanya.

Katanya, kadar tanggungan kerajaan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan ditingkatkan kepada 90% dengan peruntukan RM100 juta.

"Saya menyeru syarikat pengendali untuk menanggung baki 10% caruman bagi pihak pekerja gig. Saya yakin syarikat pengendali platform amat prihatin dengan kebajikan pekerja mereka," katanya.

Selain itu, kerajaan akan meningkatkan siling gaji bulanan bagi caruman Perkeso daripada RM5,000 kepada RM6,000 ringgit. Peningkatan ini akan meningkatkan faedah tunai pada kadar 20.2% untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka. - DagangNews.com