Belanjawan 2026 diramal perhebat sokongan kepada sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik - Kenanga

LocalTechnology
1 Oct 2025 • 3:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2026 diramal perhebat sokongan kepada sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik - Kenanga

image is not available

01/10/2025 - 15:56

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Okt - Perbelanjaan pembangunan Malaysia dijangka beralih kepada pelaburan berteknologi tinggi tahun depan dengan Belanjawan 2026 diramal memperhebat sokongan kepada sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E), menurut Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu menjangkakan pelan fiskal tersebut akan menyediakan langkah berfokus kepada ekosistem semikonduktor selaras dengan Dasar Semikonduktor Nasional (NSS).

“Belanjawan 2026 dijangka membawa sokongan bersasar untuk ekosistem semikonduktor Malaysia seiring dengan NSS – berkemungkinan melalui subsidi, geran padanan, dan/atau proses birokrasi yang dipermudah,” katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, semakan dengan beberapa syarikat tersenarai menunjukkan pembuat dasar kini sedang meninjau keperluan industri, satu petanda positif insentif akan digubal berdasarkan halangan praktikal seperti keupayaan reka bentuk, kapasiti pembungkusan lanjutan dan pembangunan bakat.

Ini juga akan seiring dengan aspirasi Malaysia untuk menarik pelaburan swasta dan bergerak naik dalam rantaian nilai di bawah NSS. Sehingga Mac 2025, Malaysia telah memperoleh lebih RM63 bilion pelaburan semikonduktor kurang daripada setahun selepas dasar itu dilancarkan pada Mei 2024.

Pelaburan tersebut termasuk kejayaan syarikat asing seperti loji kuasa silikon karbida 200mm terbesar dunia milik Infineon di Kulim dan pengembangan produk semikonduktor NXP, di samping juara tempatan seperti Carsem (M) Sdn Bhd, Inari Amertron Berhad, Pentamaster Corp Berhad, Vitrox Corp Berhad dan Kelington Group Berhad.

Empat firma reka bentuk litar bersepadu termasuk Oppstar Berhad dan SkyeChip Sdn Bhd turut disasarkan untuk mencatat pertumbuhan hasil tahunan melebihi 25%.

Kenanga Research turut menekankan, pembiayaan pemangkin berjumlah lebih RM2 bilion diluluskan, dengan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Persaraan antara penyokong institusi utama.

Dari segi bakat, sejumlah RM1.2 bilion diperuntukkan dalam tempoh lima tahun untuk membina kumpulan sekitar 60,000 jurutera, diterajui Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) dan Human Resource Development Corp (HRD Corp).

Objektif jangka panjang NSS termasuk melahirkan 10 syarikat Malaysia dengan hasil melebihi AS$1 bilion.

Kenanga Research juga berkata, sektor automotif menunjukkan dinamik yang semakin baik.

“Unjuran automotif global semakin positif, dengan penembusan kenderaan elektrik (EV) dan ciri perisian bersepadu memacu pertumbuhan tambahan,” katanya sambil menambah Malaysian Pacific Industries Berhad dan D&O Green Technologies Berhad berpotensi meraih manfaat.

Mengenai ketegangan perdagangan, Kenanga Research berkata, pelarasan tarif setakat ini memberi kesan terhad kepada pemain teknologi tempatan, dengan pesanan kembali diterima selepas kelewatan sementara pada suku kedua.

Ia menjangkakan operasi akan kembali normal pada suku ketiga, sekali gus menyokong keterlihatan pendapatan.

Mencerminkan sentimen lebih kukuh, Kenanga Research menaikkan penilaian ke atas syarikat-syarikat dalam liputannya, dengan mengutamakan syarikat huluan yang mempunyai keterlihatan pendapatan lebih jelas.

Syarikat pilihan utama ialah Kelington, UWC Berhad dan Inari, disebabkan daya tumpuan kepada pertumbuhan berasaskan perbelanjaan modal serta peningkatan kepentingan dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI).

Secara keseluruhan, Kenanga Research menaik taraf pendiriannya terhadap sektor teknologi kepada "overweight" daripada "neutral", dengan mengambil kira momentum semikonduktor yang berdaya tahan, pecutan perbelanjaan modal dipacu AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi, prospek automotif yang lebih kukuh serta risiko tarif yang terkawal. - DagangNews.com

standard