Jualan semikonduktor global terus naik, kini masa sesuai beli saham syarikat teknologi Malaysia, kata Kenanga

TechnologyBusiness & Finance
30 Sep 2025 • 3:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan semikonduktor global terus naik, kini masa sesuai beli saham syarikat teknologi Malaysia, kata Kenanga

image is not available

30/09/2025 - 15:12

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Sept - Kenanga Research berkata, kini merupakan masa sesuai untuk membeli saham syarikat teknologi Malaysia memandangkan jualan semikonduktor global terus mencatatkan peningkatan dan kesan langsung tarif Amerika Syarikat (AS) dilihat tidak menjejaskan sektor itu.

Katanya, data terkini menunjukkan kitaran kenaikan jualan cip global berterusan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan 2026, selain peningkatan perbelanjaan peralatan.

Firma penyelidikan itu turut menaik taraf sektor teknologi Malaysia kepada "overweight" dan faktor itu menjadi pemangkin kepada syarikat Malaysia yang terdedah kepada segmen foundri hadapan dan peralatan.

“Kitaran ini kekal disokong secara struktur oleh permintaan kukuh untuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berprestasi tinggi, 5G, dan naik taraf telefon pintar generasi baharu yang mendorong keperluan cip logik canggih, unit pemproses grafik (GPU) dan pemecut AI," katanya dalam satu nota kajian.

Jualan semikonduktor global melonjak lebih 20% pada Julai, dipacu oleh cip logik dan memori berikutan perbelanjaan kukuh pusat data dan penggunaan meluas AI terkini, menurut World Semiconductor Trade Statistics.

Persatuan Industri Semikonduktor (SEMI) pula menjangkakan perbelanjaan peralatan fabrikasi meningkat 6% pada 2025 dan 8% pada 2026.

Pandangan positif ini dijangka mengukuhkan prospek Kelington Group Berhad yang mengkhusus dalam gas industri, serta UWC Berhad yang membekalkan modul kejuruteraan berketepatan tinggi dan menyediakan integrasi sistem bagi peralatan wafer-fab hadapan, kata Kenanga.

“Penting untuk diperhatikan, kami dapati pesanan kini kembali diterima dengan pembatalan yang minimum, sementara kos sebahagian besarnya dipindahkan kepada pelanggan,” jelas firma itu lagi, sambil menambah ketidakpastian tarif AS semakin reda.

Bagi syarikat teknologi Malaysia, operasi dijangka kembali normal pada masa ini, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan di seluruh sektor, tambah Kenanga.- DagangNews.com

featured standard