Belanjawan 2027 akhirnya diluluskan! RM510 bilion untuk perancangan fiskal negara

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 9:58 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 selepas dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu.

Lebih suara bersetuju menerusi undian

Memetik laporan daripada Bernama, RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju menerusi undian suara selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Kelulusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor.

Image from: Belanjawan 2027 akhirnya diluluskan! RM510 bilion untuk perancangan fiskal negara

Foto: Astro Awani

Belanjawan kelima di bawah Kerajaan MADANI yang bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ itu melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM459.8 bilion.

Selain itu, peruntukan berkenaan turut disokong pelaburan RM25 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion daripada badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan).

PM Anwar Zahir rasa syukur

Secara keseluruhan, Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang dengan jumlah RM510 bilion, selain menggariskan lapan lunas utama bagi meningkatkan kehidupan rakyat serta memperkukuh daya tahan dan masa depan negara.

Mengulas kelulusan berkenaan, Anwar menerusi kenyataan di media sosial menzahirkan rasa syukur dan menyifatkannya sebagai satu lagi langkah penting dalam usaha kerajaan membawa kehidupan rakyat ke arah lebih baik.

“Alhamdulillah. Belanjawan 2027 yang bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” diluluskan Dewan Rakyat hari ini, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Kerajaan MADANI mengangkat kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik, di samping memperkukuh daya tahan dan menjamin masa depan negara.
Moga segala perancangan dan ikhtiar yang digariskan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, membawa manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjadi asas yang kukuh untuk membina Malaysia yang lebih makmur, adil dan sejahtera,” tulisnya.

Beliau berharap segala perancangan yang terkandung dalam Belanjawan 2027 dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberikan manfaat kepada rakyat dan pembangunan negara.

Sumber: Bernama, Facebook Anwar Ibrahim

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved