
Belanjawan 2027 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini disifatkan sebagai satu langkah penting dalam usaha Kerajaan MADANI meningkatkan taraf kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu turut mencerminkan usaha kerajaan untuk memperkukuh daya tahan serta menjamin masa depan negara.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berharap segala perancangan dan usaha yang digariskan dalam belanjawan berkenaan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi memberikan manfaat kepada rakyat.
"Moga segala perancangan dan ikhtiar yang digariskan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, membawa manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjadi asas yang kukuh untuk membina Malaysia yang lebih makmur, adil dan sejahtera," katanya.
Bertemakan 'Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi', Belanjawan 2027 menggariskan lapan lunas utama yang merangkumi komitmen untuk meningkatkan kehidupan rakyat serta agenda memperkukuh daya tahan dan masa depan negara.







