Belanjawan 2027: Anak muda India perlu manfaat peluang tingkat kemahiran

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 9:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Belanjawan 2027: Anak muda India perlu manfaat peluang tingkat kemahiran
Sharvin

IPOH - Golongan belia masyarakat India perlu memanfaatkan peluang latihan kemahiran yang disediakan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 bagi meningkatkan kebolehpasaran dan membuka laluan kerjaya lebih baik.

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), R Sharvin berkata, peningkatan peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada RM150 juta membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Menurutnya, peruntukan itu memberi peluang kepada golongan belia untuk meningkatkan kemahiran serta meluaskan akses kepada pekerjaan khususnya dalam sektor yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Anak muda masyarakat India perlu mengambil peluang yang disediakan untuk meningkatkan kemahiran diri, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

“Antara bidang yang mempunyai potensi ialah automasi industri, teknologi dan penyelenggaraan pesawat yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sharvin yang juga Timbalan Ketua AMK Cabang Tambun berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan perlu diberi perhatian supaya manfaatnya dapat dinikmati golongan sasaran, terutama mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

Beliau berkata, latihan berorientasikan industri penting bagi memastikan belia memiliki kemahiran bersesuaian dengan keperluan majikan dan perkembangan pasaran pekerjaan semasa.

Menurutnya, peluang berkenaan juga perlu dimanfaatkan bagi membina tenaga kerja yang berdaya saing serta meningkatkan peluang golongan muda mendapatkan pekerjaan dengan prospek kerjaya lebih baik.

“Belanjawan yang bermakna bukan sekadar pada angka, tetapi pada perubahan positif yang mampu dibawa kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Justeru, beliau berharap peruntukan MITRA dapat diterjemahkan menerusi pelaksanaan program bersasar yang mampu memperkukuh kemahiran, meningkatkan kebolehpasaran dan memperluas peluang pekerjaan dalam kalangan belia India.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan meningkatkan peruntukan kepada MITRA sebanyak RM150 juta dengan memberi keutamaan kepada pembangunan kemahiran dan perluasan peluang pekerjaan bagi belia India.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved