Belanjawan 2027 peluang transformasi sektor korporat, tingkat produktiviti – CGSI MY

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 4:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027 peluang transformasi sektor korporat, tingkat produktiviti – CGSI MY Image from: Belanjawan 2027 peluang transformasi sektor korporat, tingkat produktiviti – CGSI MY sarah12/10/2026 - 16:48 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt - Syarikat Malaysia perlu memanfaatkan Belanjawan 2027 untuk meningkatkan pelaburan, produktiviti dan daya saing antarabangsa, menurut CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGSI MY).

 

Ketua Pegawai Eksekutif CGSI MY, Khairi Shahrin Arief Baki berkata, Belanjawan MADANI kelima itu hadir ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik Asia Barat, gangguan bekalan tenaga dan perkapalan, ketegangan perdagangan serta risiko perubahan iklim.

 

Beliau berkata, cabaran itu, termasuk kemungkinan fenomena El Niño kuat pada 2027, menjadikan daya tahan operasi satu keperluan bagi syarikat tempatan.

 

“Malaysia tidak mungkin terlepas daripada setiap kejutan yang datang dari luar. Namun, kita boleh memilih untuk menghadapinya dengan lebih bersedia dan lebih berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurutnya, antara langkah yang boleh dimanfaatkan syarikat termasuk lanjutan Elaun Modal Dipercepat bagi loji dan jentera keluaran tempatan, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perisian sehingga akhir 2030.

 

Belanjawan itu turut menyediakan Elaun Cukai Pelaburan sehingga 100% bagi projek dan aset teknologi hijau yang layak serta bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

 

Dari segi tenaga kerja, gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, dengan pengecualian bagi PMKS yang mencatatkan jualan tahunan kurang RM50 juta. GLIC dan GLC pula akan menaikkan penanda aras gaji kehidupan wajar kepada RM3,400 sebulan.

 

Selain itu, RM8 bilion diperuntukkan bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), manakala potongan cukai disediakan kepada syarikat yang menyertai program latihan BAKAT MADANI.

 

Khairi berkata, syarikat perlu mengimbangi peningkatan kos buruh dengan pelaburan dalam kemahiran, teknologi dan automasi bagi meningkatkan produktiviti serta menawarkan pekerjaan berkualiti.

 

“Gaji minimum yang lebih tinggi tidak wajar dilihat semata-mata sebagai tambahan kos kepada majikan. Jalan ke hadapan adalah melabur dalam kemahiran, teknologi dan automasi agar kenaikan gaji disokong oleh peningkatan produktiviti,” katanya.

 

Dalam aspek kelestarian, beliau berkata, insentif pelaburan hijau dan agenda penetapan harga karbon memberi peluang kepada syarikat meningkatkan kecekapan operasi serta mengurus kos peralihan dengan lebih terancang.

 

CGSI MY turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) pada minggu lalu bagi meneroka pembangunan pasaran karbon dan peluang pembiayaan usaha penyahkarbonan.

 

Sementara itu, Ketua CGSI MY bagi Malaysia, Alan Inn berkata, syarikat perlu mempelbagaikan pasaran, sumber pendapatan dan rantaian bekalan bagi menghadapi ketidaktentuan global.

 

Belanjawan 2027 turut menyediakan jaminan pembiayaan RM1 bilion untuk membantu syarikat tempatan berkembang melalui penggabungan dan pengambilalihan, selain menyokong penyenaraian di pasaran Malaysia dan Hong Kong menerusi geran padanan kos penyenaraian.

 

“Peluang yang tersedia bukan untuk mengumpul insentif satu demi satu, tetapi untuk menggunakannya bagi mengubah perniagaan dari asas,” kata Alan.

 

Khairi berkata, program MY Value Up yang diperkenalkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia pada 2026 turut membantu syarikat tersenarai memperjelas strategi pertumbuhan, sasaran dan keutamaan penggunaan modal. Syarikat sasaran dijangka mula menerbitkan pelan masing-masing pada 2027 bagi menyokong penciptaan nilai jangka panjang kepada pelabur, pekerja dan ekonomi negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved