
PETALING JAYA: Belanjawan 2027 memberi perhatian kepada semua lapisan rakyat dengan matlamat mengangkat martabat serta memastikan setiap warga Malaysia menjalani kehidupan yang lebih bermaruah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Madani memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.
Katanya, kebajikan masyarakat Cina dan India turut diberi perhatian dalam belanjawan itu bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil oleh semua kaum.
“Sabah dan Sarawak pula menerima peruntukan tertinggi, manakala RM445 juta disediakan untuk meningkatkan kesejahteraan Orang Asli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan pelbagai bantuan, insentif dan inisiatif pembangunan diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Anwar di Dewan Rakyat.
Belanjawan bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ itu merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 dan kelima di bawah kerajaan Madani.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan lebih RM80 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif tahun depan, termasuk subsidi bahan api yang dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion serta hampir RM3.3 bilion untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam kenyataan sama, Anwar berkata, kepelbagaian kaum, agama dan wilayah merupakan kekuatan negara.
“Kita mahu setiap rakyat menikmati hasil kemakmuran secara adil, agar tiada yang tercicir dan setiap daripada kita punya harapan untuk memiliki masa depan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN
The post Belanjawan 2027 angkat martabat rakyat, tiada yang tercicir appeared first on Utusan Malaysia.






