
KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bakal memperluas sokongan kepada usahawan Bumiputera menerusi pengukuhan kemudahan pembiayaan dan pembangunan kapasiti susulan peningkatan dana agensi itu kepada RM500 juta dalam Belanjawan 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, tambahan RM150 juta berbanding peruntukan sebelumnya itu meningkatkan tanggungjawab agensi berkenaan untuk memastikan kemudahan pembiayaan disalurkan kepada usahawan yang benar-benar layak.
Menurutnya, pengurusan dana berkenaan perlu dilaksanakan secara telus dan berintegriti, selain berpandukan tata kelola yang baik bagi memastikan peruntukan kerajaan memberikan manfaat kepada kumpulan sasaran.
“PUNB merakamkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri serta Kementerian Kewangan, atas kepercayaan ini.
“Kami memberi jaminan bahawa amanah ini akan dilaksanakan dengan penuh integriti, berteraskan tata kelola yang baik dan telus, supaya setiap ringgit sampai kepada usahawan yang layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Peningkatan dana pembiayaan daripada RM350 juta kepada RM500 juta itu meneruskan komitmen kerajaan yang sebelum ini dizahirkan pada Majlis Perasmian SPark 2026, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf keberkesanan program pembiayaan yang dilaksanakan PUNB.
Pada majlis berkenaan, kerajaan turut menyatakan kesediaan mempertimbangkan penambahan pembiayaan berdasarkan prestasi serta keberkesanan PUNB dalam melaksanakan mandatnya.
Dalam usaha memperkukuh ekonomi Bumiputera, PUNB turut menyelaraskan pendekatannya dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35), termasuk menyokong penyertaan usahawan dalam sektor berpotensi tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan, tenaga baharu dan industri bernilai tinggi.
PUNB berpandangan, peluang dalam sektor berkenaan perlu disokong melalui akses pembiayaan yang bersesuaian serta pembangunan kapasiti secara berterusan bagi membantu usahawan meningkatkan daya saing dan mengembangkan perniagaan secara mampan.
Sepanjang tahun ini, agensi itu turut menyusun semula skim pembiayaan menerusi PROSPER GROW, PROSPER GREAT dan PROSPER IMPACT/NOVA, selain memperkenalkan tiga produk baharu di bawah PROSPER GROW, iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP dan PROSPER GROW AUTO BIZ bagi memperluas akses pembiayaan kepada usahawan pada pelbagai peringkat perniagaan.
Izwan berkata, PUNB akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi memastikan sokongan yang diberikan menghasilkan impak nyata terhadap perkembangan perniagaan, selaras dengan agenda Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13, selain memperincikan inisiatif pelaksanaan Belanjawan 2027 dari semasa ke semasa. – UTUSAN
The post PUNB perkukuh pembiayaan usahawan Bumiputera appeared first on Utusan Malaysia.






