
KUALA LUMPUR – Kerajaan meningkatkan peruntukan Bantuan Warga Emas kepada RM1.3 bilion pada tahun depan yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 penerima.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan antara usaha kerajaan dalam mempersiapkan negara menuju status negara tua.
“Bantuan Warga Emas tahun hadapan ditingkatkan kepada RM1.3 bilion bagi manfaat hampir 200,000 penerima,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang Warga Emas bagi menangani isu pengabaian selain memperkukuh ekosistem penjagaan yang lebih menyeluruh.
Katanya, mulai 1 Januari 2027, kadar cukai perkhidmatan bagi penjagaan warga emas turut diturunkan daripada lapan kepada enam peratus.
“Pengecualian penuh diberikan bagi yuran jagaan sehingga RM96,000 setahun,” katanya.
Selain itu, lebih RM40 juta disediakan melalui HRD Corp bagi melatih 8,000 individu sebagai tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas.
Langkah berkenaan turut dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang penjagaan warga emas selari dengan peningkatan keperluan sektor berkenaan.
Kerajaan juga akan membangunkan dua pusat kepakaran penjagaan bersepadu atau NICE masing-masing di Pulau Pinang dan Sarawak bagi tujuan latihan, penyelidikan serta penjagaan warga emas. – KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027: Bantuan warga emas naik RM1.3 bilion tahun depan appeared first on Kosmo Online.




