SHAH ALAM - Belanjawan Madani 2027 yang berjumlah RM510 bilion dilihat meneruskan agenda reformasi ekonomi dan institusi, selain memperluas bantuan kepada rakyat dalam menangani kos sara hidup.
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kekuatan keseluruhan jumlah belanjawan itu bukan semata-mata himpunan angka dan peruntukan sebaliknya, penyataan tanggungjawab menangani kos sara hidup, pekerja, memperluas akses dan peluang pendidikan serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
"Peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion serta kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 antara langkah yang menunjukkan usaha kerajaan meringankan beban keluarga.
"Tidak terkecuali golongan pertengahan (M40) yang turut menerima manfaat melalui peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000. Selain pengurangan kadar cukai pendapatan tertentu, sekali gus memberikan ruang pendapatan boleh guna yang lebih besar, " katanya pada Khamis.
Menurutnya, ketetapan bahawa pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya bermula apabila pendapatan peminjam mencapai RM2,500 sebulan.
"Peminjam perlu membuat bayaran minimum RM50 bagi yang berpendapatan di bawah RM3,000, merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam perjuangan mewujudkan sistem pembiayaan pendidikan yang lebih adil.
"Pendekatan ini mencerminkan kefahaman Kerajaan Madani berhadap kekangan kewangan graduan baharu yang sedang membina kehidupan dan kerjaya," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik pengenalan Program Budi Belia yang menawarkan insentif e-dompet RM100 kepada anak muda yang melengkapkan jumlah jam kesukarelawanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih.
Menurutnya, inisiatif tersebut menghargai sumbangan belia, menggalakkan penglibatan dalam khidmat masyarakat serta menyemai nilai ihsan dan semangat membantu tanpa mengira kaum dan agama.
"Pembangunan anak muda perlu turut membina generasi yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.
"Ketegasan Kerajaan Madani dalam menangani persaingan tidak adil daripada e-dagang asing yang menjejaskan peniaga tempatan harus dipuji.
"Langkah memperkukuh penguatkuasaan dan cadangan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang membuktikan bahawa keterbukaan ekonomi tidak sewajarnya mengorbankan kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana tempatan," katanya.
Beliau berkata, Gagasan Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi membawa pengertian yang mendalam.
Katanya, Malaysia mesti berani mengejar kemajuan teknologi, pelaburan dan industri masa hadapan, tanpa sesekali mengabaikan denyut kehidupan rakyat terbanyak.
"Justeru, reformasi fiskal dan pembaharuan tatakelola mesti terus diperkukuh agar setiap hasil pertumbuhan dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama.
"Kejayaan belanjawan ini tidak harus diukur pada besarnya peruntukan semata-mata, tetapi pada sejauh mana ia memperbaiki kehidupan rakyat hari ini dan memperkukuh masa depan generasi penerus.
"Ini kerana reformasi bukan sekadar keberanian mengubah dasar tetapi kesungguhan memastikan perubahan itu benar-benar dinikmati rakyat," katanya.






