Belanjawan 2027 beri manfaat kepada JIM

LocalPolitics
10 Oct 2026 • 11:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Belanjawan 2027 beri manfaat kepada JIM
Zakaria

SHAH ALAM – Inisiatif pembinaan kuarters baharu di dua depot tahanan imigresen serta Pejabat Imigresen Keningau, Sabah menerusi Belanjawan 2027 dijangka meningkatkan kebajikan anggota dan mutu penyampaian perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada kebajikan anggota selain meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan imigresen kepada masyarakat.

Menurutnya, pembinaan kuarters baharu di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Perak dan Depot Tahanan Imigresen Papar, Sabah dapat menyediakan kemudahan kediaman lebih kondusif kepada anggota serta keluarga mereka.

"Kebajikan anggota merupakan antara aspek penting dalam memastikan kelancaran tugas penguatkuasaan undang-undang dan pengurusan tahanan imigresen.

"Penyediaan kediaman yang lebih kondusif bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan anggota dan keluarga, malah menyokong tumpuan serta komitmen mereka dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab jabatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan Pejabat Imigresen Keningau turut membantu meningkatkan kemudahan urusan imigresen kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, pembangunan pejabat berkenaan diharap dapat menyediakan persekitaran urusan yang lebih sistematik, selesa dan cekap.

JIM turut menyambut baik komitmen kerajaan menerusi Belanjawan 2027 dalam menyediakan kemudahan yang dapat memenuhi keperluan anggota dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Sehubungan itu, JIM akan memberikan kerjasama dalam penyelarasan pelaksanaan inisiatif berkenaan bagi memastikan manfaat yang dirancang dapat direalisasikan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved