
KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merancang melaksanakan pembinaan kolej kediaman baharu dan menaik taraf kemudahan Wi-Fi bagi memenuhi keperluan mahasiswa susulan pengumuman Belanjawan 2027.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, perancangan itu selari dengan perhatian yang diberikan kerajaan terhadap keperluan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Katanya, pengumuman berkaitan kemudahan kolej kediaman dalam Belanjawan 2027 adalah perkembangan positif kerana kemudahan itu menjadi antara keperluan penting bagi mahasiswa.
“UniSZA menghargai sokongan kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha menyediakan kemudahan berkenaan dan akan berusaha menyegerakan perancangan pelaksanaannya. Belanjawan ini sebenarnya cukup menarik kerana keperluan kolej kediaman di UniSZA disebut secara jelas dan spesifik.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan dan KPT yang memberikan sokongan terhadap penyediaan kemudahan itu kerana ia merupakan satu keperluan penting untuk mahasiswa. Insya-Allah, kita akan berusaha menyahut hasrat tersebut dengan menyegerakan perancangan bagi pelaksanaan kolej kediaman berkenaan,” katanya selepas program Walk With Me 2.0 (WWM 2.0) di sini.
Fadzli berkata, keperluan menaik taraf kemudahan Wi-Fi turut diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran di universiti.
Katanya, UniSZA akan turut melaksanakan usaha berkenaan bagi memastikan kemudahan internet di kampus dapat memenuhi keperluan warga universiti, khususnya mahasiswa.
“Agenda pendigitalan juga akan terus diberi perhatian melalui penerapan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta sistem digital dalam pengurusan dan operasi universiti.
“Kita akan melihat bagaimana elemen itu dapat diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk penggunaan AI dalam konteks akademik dan kurikulum serta sistem pengurusan dan operasi universiti,” katanya. – UTUSAN
The post Belanjawan 2027 buka ruang UniSZA tambah baik kemudahan pelajar appeared first on Utusan Malaysia.






