Belanjawan 2027: RM7.1 Bilion Perkukuh Usaha Banteras Jenayah, Ancaman Sempadan

LocalPolitics
10 Oct 2026 • 1:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Belanjawan 2027: RM7.1 Bilion Perkukuh Usaha Banteras Jenayah, Ancaman Sempadan

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2027 menyaksikan kerajaan memperuntukkan RM7.1 bilion bagi memperkukuh aset keselamatan dan kesiapsiagaan operasi. 

Jumlah itu mencakupi penyediaan kemudahan baharu, penyelenggaraan peralatan serta penggunaan teknologi untuk menangani jenayah yang semakin kompleks dan ancaman terhadap keselamatan negara.

Peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada RM22 bilion yang disediakan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), merangkumi perolehan dan penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi beruniform lain di bawah kementerian berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata peruntukan berkenaan berkenaan membantu memperkukuh keselamatan negara selain meningkatkan kebajikan warga polis.

Beliau berkata, PDRM menyambut baik rancangan pembinaan kompleks Batalion ke-19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras serta tiga balai polis baharu masing-masing di Sungai Rambai, Melaka; Tanjung Malim, Perak; dan Batu Lintang, Sri Aman, Sarawak.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan memperkukuh infrastruktur pasukan, meningkatkan kesiapsiagaan operasi serta menyokong penyampaian perkhidmatan kepolisan yang lebih cekap,” katanya.

PDRM katanya, turut menyambut baik peruntukan RM1.1 bilion bagi mempertingkat keupayaan operasi agensi penguat kuasa dalam mendepani cabaran keselamatan dan jenayah yang semakin kompleks.

Mengulas ancaman jenayah digital, Mohd Khalid berkata pembangunan aplikasi kecerdasan buatan (AI) oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), selain penambahbaikan sistem Malaysia Internet Crime Against Children, dijangka memperkukuh usaha membanteras penipuan dalam talian serta melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seksual.

“Inisiatif ini akan memperkukuh langkah pencegahan, pengesanan awal dan penguatkuasaan, khususnya dalam membendung penipuan dalam talian serta melindungi kanak-kanak daripada ancaman eksploitasi seksual,” katanya.

Dalam pada itu, PDRM turut mengalu-alukan peruntukan RM2.3 bilion bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters penjawat awam, termasuk kediaman anggota polis, demi meningkatkan kebajikan pegawai, anggota serta keluarga mereka.

Mohd Khalid berkata, PDRM akan memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara optimum bagi memperkukuh keupayaan pasukan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata cadangan pembinaan Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor di Tanjung Kupang akan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan serta penyelarasan operasi keselamatan maritim, khususnya di perairan Johor dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata pelaburan berterusan dalam aset dan infrastruktur penting bagi memastikan kesiapsiagaan operasi sentiasa berada pada tahap optimum, selain menangani ancaman seperti jenayah rentas sempadan serta melindungi kepentingan ekonomi negara dan komuniti maritim.

“Bagi Maritim Malaysia, keupayaan ini menyokong pelaksanaan rondaan, penguatkuasaan undang-undang serta operasi mencari dan menyelamat demi keselamatan awam dan kedaulatan perairan negara,” katanya.

Mohd Rosli berkata pihaknya komited memastikan pengurusan peruntukan dilaksanakan secara cekap, telus dan berkesan bagi memperkukuh operasi penguatkuasaan, perlindungan serta menyelamat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengumumkan cadangan pembinaan ibu pejabat maritim berkenaan dan pejabat baharu Jabatan Imigresen di Keningau, Sabah, sebagai antara kemudahan yang dirancang di bawah Belanjawan 2027.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menggesa penjawat awam melaksanakan dasar dan inisiatif yang digariskan dalam belanjawan itu dengan segera serta berkesan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.

Beliau berkata perkhidmatan awam bertanggungjawab memastikan dasar kerajaan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang pantas, sambil menyifatkan komitmen itu sebagai satu amanah nasional.

“Saya yakin semua penjawat awam sentiasa bersedia memikul tugas dan tanggungjawab ini sebagai Ikrar Nasional, di samping terus menyokong dasar kerajaan melalui pelaksanaan yang pantas dan berkesan supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dikongsi oleh semua,” katanya.

Shamsul Azri berkata Belanjawan 2027 berjumlah RM459.8 bilion mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, dengan mengambil kira keperluan pembangunan negara, kemampanan ekonomi dan ketahanan fiskal.

Daripada jumlah itu, RM376.8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM83 bilion lagi untuk perbelanjaan pembangunan, berlandaskan lapan prinsip utama.

Antara langkah yang diketengahkan ialah kenaikan gaji minimum kepada RM2,000, penyediaan RM80 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif, serta bantuan kewangan khas sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam yang layak dan RM750 kepada pesara.

Beliau berkata insentif serta pengecualian cukai yang diumumkan menerusi belanjawan itu turut mencerminkan usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat. - Getaran, 10 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved