Gaji naik, rakyat lega atau risau?

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gaji naik, rakyat lega atau risau?

Kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan dijangka dinaikkan dan perinciannya dalam pembentangan Belanjawan 2027 esok.

Sebelum ini, kenaikan gaji minimum mendapat sokongan pekerja dan kesatuan sekerja kerana dapat memberi manfaat kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Langkah itu juga antara lain dapat membantu menangani kos sara hidup, meningkatkan taraf kehidupan pekerja, mengurangkan jurang pendapatan dan memberi pengiktirafan kepada sumbangan pekerja.

Bagaimanapun, kali ini, terdapat rakyat yang melahirkan kebimbangan di media sosial terhadap kesan kenaikan gaji minimum itu terhadap harga barang dan peluang pekerjaan.

Paling dibimbangi adalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Jika kos gaji meningkat, sesetengah majikan mungkin memindahkan sebahagian kos kepada pengguna melalui kenaikan harga makanan, sewa, perkhidmatan dan barangan lain.

Ramai yang beranggapan, ‘tiada guna gaji naik, jika harga barang ikut sekali naik’.

Bagi mereka, peningkatan pendapatan tidak akan membawa banyak perubahan jika kos lain turut meningkat sehingga menghakis kuasa beli yang diperoleh daripada kenaikan gaji itu.

Selain itu, jika kos seorang pekerja meningkat, sesetengah majikan mungkin terpaksa mengurangkan pekerja, tiada pengambilan staf baharu, mengurangkan waktu bekerja atau kerja lebih masa serta mempercepatkan automasi.

Ia berisiko menyebabkan peluang pekerjaan berkurangan, peningkatan pengangguran, pendapatan pekerja terjejas dan beban kerja bertambah.

Bagaimanapun, ada satu sisi yang perlu dilihat iaitu apabila mengekalkan gaji minimum RM1,700 terlalu lama juga mempunyai masalah.

Kos sara hidup meningkat dan RM1,700 mungkin masih tidak mencukupi terutama bagi pekerja yang tinggal di bandar-bandar besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pelarasan itu dijangka dapat meredakan kebimbangan terhadap jurang pendapatan yang ketara dan disifatkan tidak adil dalam pelbagai peringkat terutama bagi graduan yang bakal memasuki alam pekerjaan.

Katanya, negara masih berdepan dengan masalah keadilan dalam pemberian gaji terutama apabila terdapat syarikat yang mencatatkan keuntungan sehingga berbilion ringgit, namun peningkatan gaji tidak seiring dengannya.

Justeru, perdebatan sebenarnya bukan semata-mata ‘naik atau jangan naik’, tetapi berapa tinggi, bila perlu dinaikkan dan bagaimana kenaikan itu dilaksanakan tanpa membebankan pekerja, pengguna dan majikan.

Kos buruh hanya salah satu komponen kos perniagaan. Ada majikan yang mungkin menyerap sebahagian kenaikan melalui pengurangan keuntungan, peningkatan produktiviti atau pengurusan kos yang lebih cekap.

Kabinet juga bersetuju perusahaan mikro, kecil dan sederhana dikecualikan daripada pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum itu buat masa ini.

Lebih penting, pekerja yang menerima gaji lebih tinggi mempunyai kuasa membeli yang lebih besar, sekali gus merancakkan permintaan dalam ekonomi.

The post Gaji naik, rakyat lega atau risau? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved