Belanjawan 2027 diterima baik rakyat hasil keberkesanan libat urus semua peringkat - Fahmi

LocalPolitics
14 Oct 2026 • 11:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Belanjawan 2027 diterima baik rakyat hasil keberkesanan libat urus semua peringkat - Fahmi
Fahmi Fadzil - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Belanjawan 2027 yang dibentangkan Jumaat lepas diterima baik rakyat sekali gus membuktikan kejayaan sesi libat urus yang dilaksanakan kerajaan di pelbagai peringkat, kata Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata, pendekatan digarap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membolehkan kerajaan mengambil kira keperluan pelbagai kumpulan masyarakat seterusnya menjadikan Belanjawan 2027 berbeza daripada sebelumnya.

"Perdana Menteri telah mengarahkan menteri-menteri, seluruh pasukan di Kementerian Kewangan memasang telinga, mendengar, membuat sesi libat urus, berbincang, mendapatkan maklum balas, pandangan, memorandum dan sebagainya.

"Maka apa dibentangkan pada Jumaat lalu walaupun mungkin tidak sempurna tetapi ia jauh lebih baik dan rata-rata kita lihat dalam bidang sosial penerimaannya sangat baik,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi Oktober 2026 di sini hari ini.

Perhimpunan sempena Hari Sukan Negara 2026 itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata, Kerajaan Madani sentiasa mendengar keluh kesah rakyat serta sentiasa melaksanakan usaha yang terbaik untuk memastikan rakyat mendapat manfaat hasil daripada pengurusan baik diterapkan Perdana Menteri.

"Saya bagi contoh bermula hari ini, lebih 38,000 pemandu teksi dan pemandu bas sekolah akan mula mendapat sumbangan sebanyak RM1,000 daripada Kementerian Pengangkutan hasil jualan nombor plat kereta khas.

"Ini menunjukkan bahawa sekiranya pentadbiran itu telus, tulus, diuruskan dengan baik, diikhtiarkan beberapa perkara yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat, maka usaha seperti ini mampu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi turut menyambut baik beberapa pengumuman dalam belanjawan berkenaan termasuk pengecualian duti hiburan bagi tiket filem tempatan di Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau mahu sesi libat urus diteruskan dengan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) bagi memastikan manfaat pengecualian duti hiburan itu bukan sahaja dinikmati penerbit filem tempatan, malah turut dirasai penonton.

"Kita kalau boleh, kita nak manfaat ini bukan hanya dapat dinikmati oleh produser yang menghasilkan filem-filem tempatan, tapi juga untuk mereka yang pergi menonton filem terutama di kawasan Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi akan meneliti dan membantu Jabatan Digital Negara untuk memastikan naskhah ucapan Belanjawan 2027 disalurkan kepada pengusaha perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) supaya semua maklumat dalam perkhidmatan itu sahih. 

"Saya minta supaya kita teliti dan bantu Jabatan Digital Negara untuk pastikan naskhah ucapan belanjawan ini disampaikan kepada pengusaha perkhidmatan kecerdasan buatan AI dan AI chatbot sama ada Gemini, ChatGPT, (Microsoft) Copilot dan yang lain.

"Ini kerana kita banyak bekerjasama dengan mereka dan pastikan maklumat sahih dapat diterima oleh AI ini. Ia supaya sekiranya rakyat ada apa-apa pertanyaan, mereka boleh mendapat maklumat yang tepat. Jadi saya minta ada sedikit koordinasi dengan Jabatan Digital Negara," katanya.

Pada 9 Oktober lepas, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat yang memperuntukkan RM510 bilion, bagi mengangkat martabat dan kesejahteraan rakyat pada semua peringkat.

Belanjawan 2027 menggariskan lapan lunas utama merangkumi komitmen untuk kehidupan rakyat lebih baik hingga ke agenda memperkukuh daya tahan dan masa depan negara.

Anwar ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 merangkumkan tekad itu sebagai "Waad Nasional”, iaitu janji bahawa kemajuan negara, akhirnya diterjemahkan kepada kehidupan lebih bermaruah bagi rakyat dan memperkukuh Malaysia untuk generasi akan datang. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved