Belanjawan 2027: Gaji, kos sara hidup dan pekerjaan adalah isu paling penting kepada rakyat

LocalOpinion
26 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Gaji, kos sara hidup dan pekerjaan adalah isu paling penting kepada rakyat Image from: Belanjawan 2027: Gaji, kos sara hidup dan pekerjaan adalah isu paling penting kepada rakyat johardy26/08/2026 - 08:00 Oleh Dr Paul Anthony Maria Das editor@dagangnews.com

Kenyataan Pra-Belanjawan 2027 mengenal pasti banyak keutamaan yang tepat, daripada menangani tekanan kos sara hidup kepada mewujudkan pekerjaan lebih baik serta membina ekonomi yang lebih produktif dan inovatif.

 

Cabaran sekarang ialah pelaksanaannya.

 

Malaysia telah mencapai kemajuan dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan dan mengukuhkan kedudukan fiskal.

 

Namun, petunjuk utama ekonomi tidak banyak memberi keyakinan sekiranya kenaikan gaji tidak seiring dengan peningkatan perbelanjaan atau isi rumah tidak merasakan peluang pekerjaan dan perkhidmatan awam yang lebih baik.

 

Oleh itu, Belanjawan 2027 seharusnya dinilai bukan sahaja berdasarkan jumlah yang diperuntukkan kerajaan, tetapi sejauh mana ia membawa perubahan kepada kehidupan rakyat.

 

 

 

 

 

 

Lindungi kuasa beli isi rumah

Kos sara hidup mesti kekal sebagai keutamaan segera. Makanan, perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan, penjagaan kanak-kanak dan pengangkutan terus mengambil sebahagian besar daripada pendapatan isi rumah.

 

Bantuan bersasar menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan program lain kekal penting, khususnya bagi isi rumah yang mudah terjejas.

 

Bagaimanapun, Malaysia tidak boleh bergantung selama-lamanya kepada bantuan tunai untuk mengimbangi pertumbuhan pendapatan yang lemah.

 

Pendekatan yang lebih mampan ialah meningkatkan produktiviti dan gaji benar, di samping menangani punca struktur yang menyebabkan perbelanjaan isi rumah tinggi. Ini memerlukan rantaian bekalan makanan yang lebih kukuh, pengangkutan awam yang boleh dipercayai, penjagaan kesihatan dan kanak-kanak yang mampu dibiayai serta perumahan yang terletak berhampiran pusat pekerjaan.

 

Golongan berpendapatan sederhana juga memerlukan perhatian lebih besar. Ramai yang berpendapatan terlalu tinggi untuk layak menerima bantuan yang besar, tetapi masih berdepan kos perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan tanggungjawab penjagaan yang tinggi.

 

Kerajaan wajar mengkaji sama ada pelepasan cukai pendapatan individu ketika ini benar-benar mencerminkan tekanan tersebut dan mempertimbangkan keadaan isi rumah seperti saiz keluarga, lokasi serta tanggungjawab menjaga ahli keluarga.

 

Jadikan gaji lebih baik ukuran kejayaan ekonomi

Malaysia perlu secara beransur-ansur bergerak daripada terlalu bergantung kepada kenaikan gaji minimum berkanun sebagai instrumen utama untuk meningkatkan pendapatan.

 

Matlamat yang lebih besar seharusnya ialah mewujudkan pekerjaan yang menawarkan pertumbuhan gaji bermakna, kemajuan kerjaya dan jaminan ekonomi.

 

Insentif perniagaan dan pelaburan perlu dikaitkan dengan lebih rapat kepada peningkatan produktiviti, latihan pekerja, kemajuan gaji dan pewujudan pekerjaan berkemahiran untuk rakyat Malaysia.

 

Begitu juga, pelaburan tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan nilai projek yang diluluskan. Malaysia perlu menilai sama ada projek berkenaan benar-benar dilaksanakan, memindahkan pengetahuan dan teknologi kepada syarikat tempatan serta mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.

 

Prinsip sama perlu diterapkan terhadap bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Sokongan bagi pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), automasi, pembiayaan dan pembangunan eksport seharusnya membantu syarikat meningkatkan produktiviti, menembusi pasaran baharu dan mewujudkan pekerjaan lebih baik, bukan sekadar membolehkan mereka terus bertahan.

 

Hubungkan pendidikan dengan peluang ekonomi

Belanjawan 2027 tepat dalam memberikan penekanan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kecerdasan buatan serta kerjasama antara institusi pendidikan dengan industri.

 

Bagaimanapun, kejayaan tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah pendaftaran, tempat latihan atau bilangan graduan yang dihasilkan.

 

Perhatian lebih besar perlu diberikan kepada gaji graduan, guna tenaga tidak penuh, padanan kemahiran dan kemajuan kerjaya. Universiti juga perlu menerima pembiayaan penyelidikan yang lebih kompetitif untuk menangani cabaran ekonomi, teknologi dan sosial Malaysia.

 

Hubungan yang lebih kukuh antara pendidikan, penyelidikan dan pekerjaan akan membantu mengekalkan bakat Malaysia.

 

Rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi lebih cenderung untuk kekal di negara ini apabila mereka melihat peluang bermakna untuk pembangunan profesional, inovasi dan kemajuan kerjaya.

 

Bersedia menghadapi tekanan perumahan dan penuaan penduduk

Dasar perumahan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembinaan lebih banyak rumah, sebaliknya memastikan rumah benar-benar mampu dimiliki berdasarkan pendapatan isi rumah serta terletak berhampiran tempat pekerjaan, pengangkutan awam dan perkhidmatan penting.

 

Malaysia juga perlu membuat persediaan lebih serius untuk menghadapi penuaan penduduk.

 

Belanjawan 2027 seharusnya memperkukuh penjagaan kesihatan pencegahan, simpanan persaraan, perkhidmatan penjagaan warga emas dan sokongan kepada keluarga yang memikul tanggungjawab penjagaan.

 

Peluang juga perlu diwujudkan untuk warga Malaysia yang lebih berusia dan masih mahu kekal aktif dari segi ekonomi serta sosial.

 

Bina kepercayaan menerusi reformasi yang telus

Konsolidasi fiskal, subsidi yang lebih bersasar dan kutipan hasil yang lebih kukuh diperlukan bagi memastikan kemampanan kewangan Malaysia dalam jangka panjang.

 

Namun, reformasi selanjutnya perlu dirangka dan dilaksanakan secara berperingkat dengan teliti supaya tidak memburukkan tekanan kos sara hidup.

 

Sekiranya cukai penggunaan yang lebih meluas dipertimbangkan, barangan keperluan mesti terus dilindungi, manakala isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah perlu diberikan pampasan yang mencukupi.

 

Rakyat Malaysia juga mesti dapat melihat ke mana penjimatan hasil daripada reformasi yang sukar disalurkan.

 

Kerajaan perlu menerbitkan petunjuk yang jelas bagi menunjukkan sama ada perbelanjaannya berjaya mengurangkan masa menunggu di hospital, menambah baik kemudahan sekolah, meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkukuh peluang pekerjaan graduan atau menjadikan pengangkutan awam lebih boleh dipercayai.

 

 

 

 

Akhirnya, Belanjawan 2027 bukan sekadar perlu lebih besar. Ia perlu lebih tepat sasarannya, telus dan mempunyai akauntabiliti yang lebih kukuh.

 

Reformasi ekonomi hanya akan mampan apabila rakyat Malaysia dapat merasakan sendiri manfaatnya menerusi kuasa beli yang lebih kukuh, gaji lebih baik, pekerjaan berkualiti dan perkhidmatan awam yang bertambah baik. - DagangNews.com

 

Dr Paul Anthony Maria Das ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perakaunan & Kewangan, Fakulti Perniagaan & Undang-Undang, Taylor’s University.
Parafrasa Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved