
PETALING JAYA: Pemberian elaun sewa bandar perlu berasaskan pendekatan ‘3P’ iaitu pendapatan, pasaran dan penempatan bagi memastikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan B40 dan M40 yang terhimpit dengan kos sara hidup.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kriteria jelas perlu ditetapkan bagi mengelak ketirisan dan memastikan bantuan disalurkan kepada kumpulan sasaran.
Katanya, pendekatan itu membolehkan kerajaan mengambil kira kemampuan isi rumah, kadar sewa serta perbezaan kos mengikut lokasi.
“Ya, wajib. Jika tidak, dasar ini akan bocor dan tidak sampai kepada yang layak.
“Data Pangkalan Data Utama (PADU) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh digunakan bagi mengenal pasti kumpulan M40 dan B40 bandar yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, ambang pendapatan tidak wajar ditetapkan secara seragam kerana kos sara hidup dan kadar sewa berbeza mengikut negeri.
Aimi berkata, kerajaan juga boleh menanggung antara 30 hingga 50 peratus kadar sewa dengan menetapkan had maksimum mengikut lokasi bagi mengelakkan penyewa memilih kediaman terlalu mahal.
“Contohnya, siling RM500 di Kuala Lumpur dan RM350 di Johor Bahru. Kos sewa Kuala Lumpur dan Alor Setar jauh berbeza, jadi perlu ada zon elaun supaya bantuan itu relevan,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan elaun sokongan sewa bandar wajar diperkenalkan sebagai bantuan kewangan langsung kepada penyewa berpendapatan sederhana bagi menampung sebahagian kos sewa tanpa perlu memiliki rumah.
Cadangan itu boleh dipertimbangkan menerusi Belanjawan 2027 sebagai intervensi strategik membantu golongan M40 bandar.
Sementara itu, Aimi berkata, kerajaan perlu memastikan bantuan berkenaan tidak menyebabkan tuan rumah menaikkan kadar sewa.
Katanya, perjanjian sewa boleh diwajibkan didaftarkan melalui portal Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau LHDN bagi membolehkan kerajaan mengesan kenaikan tidak munasabah.
“Kerajaan juga perlu menetapkan siling sewa layak atau kadar sewa rujukan mengikut lokasi.
“Kalau tuan rumah menaikkan kadar sewa melebihi paras itu, penyewa tidak layak menerima elaun penuh. Ini akan menahan kenaikan melampau,” katanya. – UTUSAN
The post Elaun sewa perlu ikut formula pendapatan, pasaran dan penempatan appeared first on Utusan Malaysia.





