Belanjawan 2027 iktiraf potensi Perak sebagai hab perindustrian utama negara

LocalBusiness & Finance
17 Oct 2026 • 5:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Belanjawan 2027 iktiraf potensi Perak sebagai hab perindustrian utama negara

IPOH: Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap potensi dan kedudukan strategik Perak sebagai antara negeri yang mampu memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengiktirafan itu dapat dilihat menerusi perhatian khusus yang diberikan kepada dua daripada lima nod pertumbuhan utama negeri, iaitu Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim dan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), selain kelulusan tujuh daripada sepuluh projek keutamaan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri.

Secara keseluruhannya, beliau melihat belanjawan itu sebagai satu perkembangan yang bermakna kepada Perak, khususnya dalam memperkukuh agenda pertumbuhan ekonomi, merancakkan pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

“Pengumuman untuk memperhebat pembangunan LuMIC sebagai hab maritim dan memperkukuh AHTV sebagai hab automotif serantau memperlihatkan keselarasan antara perancangan pembangunan Kerajaan Negeri dengan keutamaan ekonomi negara.

“Lebih penting, pengumuman ini memberikan dorongan kepada usaha menjadikan Perak sebagai salah sebuah hab perindustrian utama negara, dengan potensi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi, memperkukuh ekosistem industri serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saarani berkata, dalam konteks AHTV, pemberian potongan cukai sehingga RM5 juta bagi kos penempatan semula yang layak kepada vendor automotif milik tempatan sepenuhnya yang berpindah ke kawasan berkenaan merupakan insentif yang berpotensi mempercepat pembentukan rantaian bekalan industri automotif di Tanjong Malim.

Pada masa yang sama, beliau turut menyambut baik kelulusan tujuh daripada sepuluh projek keutamaan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Katanya, antara projek yang diluluskan termasuk pembangunan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, pembinaan kemudahan pendidikan baharu di Sitiawan dan Chemor, Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Sepetang serta pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Proton City.

“Kelulusan ini amat bermakna kerana projek-projek berkenaan menyentuh secara langsung keperluan rakyat, khususnya dalam meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik serta memperkukuh aspek keselamatan dan perlindungan daripada risiko bencana,” katanya.

Menurutnya, selain itu, sebanyak 95 projek dan program baharu turut diluluskan di Perak di bawah Rolling Plan 2 RMK13 dengan siling peruntukan berjumlah RM2.938 bilion, manakala peruntukan bagi tahun 2027 adalah sebanyak RM150.5 juta.

“Saya percaya keseluruhan pengumuman ini akan memberikan dorongan tambahan kepada momentum pembangunan negeri, lebih-lebih lagi apabila disokong oleh pelbagai inisiatif nasional yang memberi tumpuan kepada pengurangan kos sara hidup, pembangunan modal insan, pendidikan, kesihatan dan pengukuhan perusahaan tempatan,” katanya. – UTUSAN

The post Belanjawan 2027 iktiraf potensi Perak sebagai hab perindustrian utama negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved