
Baru-baru ini, rakyat Malaysia dan Singapura dikejutkan oleh kenyataan seorang menteri dari negara seberang.
Kenyataan sangat ‘jauh dari kotak’ itu bagi ‘menyedarkan’ rakyat kedua-dua negara. Selama ini mereka menghirup oksigen sebagai nadi kehidupan yang dibekalkan oleh negara seberang.
Lantaran, selama ini juga, apa yang diajar oleh para guru sains di sekolah adalah satu ‘pembohongan’ semata-mata. Rupa-rupanya oksigen yang kita nikmati diimport dari Indonesia.
Sebenarnya, warga di sini tak kisah dan tidak mahu masuk campur tentang apa yang dilakukan di sana.
Hendak bakar hutan, bakarlah, walaupun sudah berkali-kali dinasihati para saintis dan ilmuwan bahawa apa saja onar yang kita lakukan pada alam sekitar, akan ada balasannya.
Banyak haiwan liar mati dan spesies hutan yang hidup selama ribuan tahun juga mati, tidak mengapa, jika tidak mahu mendengar nasihat, bakarlah.
Yang menjadi masalah, kebakaran hutan dan tanah gambut itu menghasilkan jerebu tebal yang merentas sempadan dan menjejaskan kehidupan rakyat di negara lain.
Itu yang menimbulkan kemarahan ramai orang di sini dan Singapura. Itu masalahnya.
Jangan susahkan negara-negara jiran.
Indonesia mempunyai tanah gambut tropika terbesar atau satu pertiga tanah gambut dunia dan apabila terbakar, boleh mengeluarkan asap berminggu-minggu malah berbulan-bulan, tambahan pula fenomena cuaca kering El Nino tahun ini adalah antara yang paling kuat dalam sejarah.
Menurut badan bukan kerajaan Pantau Gambut, lebih 16 juta hektar daripada jumlah keseluruhan 24.3 juta hektar tanah gambut di Indonesia berisiko diancam kebakaran.
Jerebu yang dihasilkan dan merebak ke negara ini pula bukanlah asap semata-mata.
Ia mengandungi partikel halus berbahaya dikenali sebagai PM 2.5. Zarah pencemaran ini boleh masuk jauh ke dalam salur darah dan jika berterusan serta terkumpul, boleh menyebabkan paru-paru terjejas atau bahasa mudah, ‘tersumbat’.
Itu yang membuatkan rakyat Malaysia dan Singapura marah. Tak kan, itu pun barisan pemimpin di sana kena diberikan taklimat.
Masalah pembakaran hutan di Indonesia pada hemat penulis, boleh diselesaikan dan tidak sukar untuk menyelesaikannya melalui undang-undang yang tegas dan teknik pembersihan hutan alternatif walaupun kosnya lebih mahal.
Benarlah kata pepatah Melayu bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Oksigen pun hendak ‘claim’, halah, halah, halah.
The post Oksigen pun boleh eksport? appeared first on Kosmo Online.






