SHAH ALAM – Insentif cukai hingga RM5 juta bagi kos penempatan semula vendor automotif milik sepenuhnya rakyat Malaysia ke Automotive Hi-Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim, Perak menjadi langkah penting dalam merealisasikan aspirasi jangka panjang untuk menjadikan kawasan itu hab kenderaan generasi baharu dan kenderaan cekap tenaga.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, insentif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu merupakan pemangkin penting kepada pembangunan AHTV.
“Dengan membantu mengurangkan kos penempatan semula, insentif itu akan menggalakkan lebih banyak vendor automotif Malaysia menubuhkan operasi di Tanjong Malim dan mempercepat pertumbuhan ekosistem automotif di AHTV.
“Kehadiran vendor yang lebih kukuh akan memperdalam rantaian bekalan tempatan, menyokong pembangunan mobiliti generasi baharu dan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan automotif,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, vendor automotif milik sepenuhnya rakyat Malaysia yang memindahkan operasi ke AHTV layak mendapat potongan cukai sehingga RM5 juta bagi perbelanjaan penempatan semula yang memenuhi syarat.
Insentif itu melibatkan perbelanjaan yang ditanggung mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Syed Faisal berkata, penekanan kerajaan terhadap teknologi, pembangunan bakat, infrastruktur kenderaan elektrik (EV) dan pembinaan keupayaan industri turut menyokong aspirasi menjadikan AHTV sebagai hab automotif serantau.
“Langkah menyokong infrastruktur pengecasan EV, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dan peningkatan produktiviti akan membantu mewujudkan ekosistem yang lebih kukuh bagi membolehkan AHTV merealisasikan potensi sepenuhnya sebagai hab automotif serantau,” katanya.
AHTV dibangunkan oleh AHTV Alliance Sdn Bhd, sebuah usaha sama antara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd.
Hab bersepadu automotif dan mobiliti itu dirancang merangkumi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) global berteknologi tinggi, pengeluar peralatan asal (OEM), kelompok pembuatan serta perkhidmatan sokongan termasuk logistik dan institusi latihan dalam persekitaran bandar pintar.


