
PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad menyambut baik Belanjawan 2027, khususnya melibatkan insentif bersasar bagi mempercepatkan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim sebagai hab automotif serantau.
Kumpulan itu berkata, langkah berkenaan dijangka membantu mengurangkan kos perpindahan syarikat vendor automotif ke AHTV, sekali gus mengukuhkan ekosistem industri automotif tempatan.
Di bawah Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini, syarikat vendor automotif milik rakyat Malaysia sepenuhnya yang memindahkan operasi ke AHTV layak mendapat potongan cukai sehingga RM5 juta bagi perbelanjaan perpindahan yang layak.
Potongan cukai itu membabitkan perbelanjaan yang ditanggung mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, insentif berkenaan adalah satu lagi langkah penting dalam merealisasikan aspirasi jangka panjang AHTV untuk menjadi hab kenderaan generasi baharu (NGV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).
“Insentif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2027 adalah rangsangan penting kepada pembangunan AHTV.
“Dengan membantu mengurangkan kos perpindahan, ia akan menggalakkan lebih banyak vendor automotif Malaysia menubuhkan operasi di Tanjong Malim dan mempercepatkan pertumbuhan ekosistem automotif dalam AHTV,” katanya.
Tambah beliau, penekanan lebih luas Belanjawan 2027 terhadap teknologi, pembangunan bakat, infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan peningkatan keupayaan industri turut mengukuhkan daya tarik Malaysia sebagai destinasi pelaburan automotif.
AHTV dibangunkan oleh AHTV Alliance Sdn. Bhd., usaha sama antara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. sebagai ekosistem automotif dan mobiliti bersepadu yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri. – KOSMO! ONLINE
The post DRB-HICOM sambut baik insentif AHTV dalam Belanjawan 2027 appeared first on Kosmo Online.






