Belanjawan 2027: Istilah ‘waad’, ‘failasuf’ disebut Anwar tarik perhatian

LocalPolitics
9 Oct 2026 • 6:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Belanjawan 2027: Istilah ‘waad’, ‘failasuf’ disebut Anwar tarik perhatian
Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian rakyat apabila menggunakan beberapa istilah yang jarang didengar termasuk ‘waad’ dan ‘failasuf’ ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.

Menteri Kewangan itu yang kini berusia 79 tahun beberapa kali menyebut perkataan ‘waad’ sepanjang pembentangan belanjawan bertemakan ‘Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ berkenaan yang bermula jam 3.30 petang.

‘Waad’ dan ‘failasuf’ ialah istilah pinjaman daripada bahasa Arab yang masing-masing bermaksud janji serta ahli falsafah.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menggunakan frasa ‘Waad Nasional’ ketika menyentuh tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat.

Katanya, negara tidak akan meminggirkan mereka yang dihimpit kesusahan dan setiap anak Malaysia walau apa pun latar keluarga, wilayah atau kedudukannya, berhak melihat dan mencapai potensi mereka.

Selain itu, Anwar menggunakan istilah ‘pemerataan’ ketika menyentuh pembangunan yang mengambil kira keperluan berbeza antara negeri dan wilayah.

Beliau juga merujuk kepada pujangga agung Tamil dalam ucapannya selain memetik kiasan daripada syair ‘Shangtang Kaishi Song’ yang dikaitkan dengan seorang pendeta agung pada era Dinasti Tang di China, antara tahun 618 hingga 907 Masihi.

Kiasan itu menggambarkan bahawa keharuman bunga plum tidak akan dapat dinikmati tanpa terlebih dahulu mengharungi kesejukan yang menggigit hingga ke tulang yang membawa pengertian bahawa pencapaian besar menuntut ketekunan, kesabaran dan kesanggupan menghadapi kesukaran.

Anwar mengambil masa dua jam membacakan teks ucapan setebal 95 halaman itu di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan ahli-ahli Parlimen yang lain.

Sepanjang pembentangan itu, Anwar yang segak mengenakan baju Melayu berwarna biru cair lengkap bersongkok dan bersamping juga dilihat hanya sekali duduk meneguk air.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, Anwar turut dilaporkan hanya meneguk air sekali sepanjang kira-kira dua jam setengah membacakan teks ucapan setebal 138 halaman.

Situasi itu turut berlaku ketika pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober tahun lalu apabila beliau hanya meneguk air sekali sepanjang kira-kira dua jam membentangkan dokumen setebal 130 halaman.

Belanjawan 2027 merupakan belanjawan kelima di bawah pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Anwar dan yang kedua dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Kerajaan meneruskan tiga tonggak Ekonomi Madani, iaitu menaikkan siling pertumbuhan ekonomi, menaikkan lantai taraf hidup rakyat serta memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.

Sebanyak 10 fokus utama digariskan merangkumi usaha merapatkan jurang wilayah, menangani kos sara hidup menerusi bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Budi Madani serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja gig dan persediaan menuju status negara menua menjelang 2030.

Berdasarkan takwim Parlimen, Belanjawan 2027 akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula minggu hadapan.

Sesi penggulungan oleh kementerian berkaitan dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober, disusuli perbahasan di peringkat jawatankuasa bermula 2 hingga 26 November sebelum rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved