KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Akta Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa mulai 2027 menjadi antara agenda reformasi Madani yang diperkukuh menerusi Belanjawan 2027 bagi meningkatkan ketelusan dan memperkemas tatakelola pengurusan kewangan awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menzahirkan maklumat projek termasuk nama kontraktor dan nilai kontrak susulan pelaksanaan akta berkenaan.
Beliau berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda reformasi institusi dan memastikan pengurusan wang serta aset rakyat dilaksanakan secara lebih telus dan bertanggungjawab.
“Memasuki tahun kelima pentadbiran, agenda reformasi Madani terus diperteguh tanpa gentar. Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan akan digubal bagi memperketat tatakelola syarikat kerajaan dan badan berkanun yang diamanah mengurus wang serta aset rakyat.
"RUU ini meliputi syarikat kerajaan dan badan berkanun bagi mengekang keterlanjuran seumpama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) daripada berulang," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Selain itu, Anwar memberitahu, kerajaan turut menetapkan semua kutipan bayaran balik pinjaman disalurkan secara langsung kepada badan berkanun Persekutuan digunakan semula hanya bagi tujuan dan kumpulan sasaran yang diluluskan dalam usaha memperkukuh tatakelola dan ketelusan pengurusan kewangan awam.
Menurutnya, ketetapan itu meliputi bayaran balik pinjaman pendidikan dan perniagaan yang dibiayai menerusi peruntukan mengurus serta pembangunan, termasuk hasil faedah yang dijana daripada dana berkenaan.
"Kerajaan turut menetapkan kutipan bayaran balik pinjaman yang menggunakan dana Persekutuan tidak boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus badan berkanun, program atau aktiviti lain, mahupun perbelanjaan di luar kelulusan peruntukan asal," ujarnya lagi.
Beliau memaklumkan, kerajaan akan bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Anwar berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat telekomunikasi akan dilibatkan dalam pelaksanaan projek bekalan elektrik luar bandar serta penyediaan akses internet bagi mempercepat pelaksanaan projek melalui penyatuan dana kerajaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
Selain itu, kata Anwar, kerajaan akan memperuntukkan RM1.1 bilion bagi memperhebat keupayaan operasi badan penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Beliau berkata, pembaharuan tatakelola itu penting bagi memastikan hasil negara dan peruntukan awam dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat.
"Apabila tatakelola diperbetul, hasil pembaharuan dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat," tegasnya lagi.






