
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mendedahkan maklumat projek termasuk nama kontraktor dan nilai kontrak bagi meningkatkan ketelusan perolehan kerajaan mulai 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilaksanakan susulan Akta Perolehan Kerajaan yang akan berkuat kuasa mulai tahun berkenaan.
“Susulan Akta Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa mulai 2027, kerajaan akan memantapkan ketelusan dengan menzahirkan maklumat projek termasuk kontraktor dan nilai kontrak,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan memperhebat keupayaan operasi badan penguat kuasa dengan peruntukan RM1.1 bilion melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Katanya, kerajaan turut bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Kerajaan akan berganding bahu dengan GLC dan sektor korporat dalam memantapkan penyampaian kepada rakyat. Umpamanya, TNB dan syarikat telekomunikasi akan dilibatkan dalam pelaksanaan bekalan elektrik desa dan ketersambungan internet bagi mempercepat pelaksanaan projek melalui penyatuan dana kerajaan dan CSR syarikat,” katanya. –UTUSAN
The post Maklumat projek, kontraktor didedahkan mulai 2027 appeared first on Utusan Malaysia.






