
KUALA LUMPUR – Keperluan pertahanan negara perlu diberi pertimbangan sewajarnya dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus berada pada tahap terbaik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertimbangan berkenaan perlu dibuat berdasarkan keperluan negara untuk mempertahankan kedaulatan dan melindungi keselamatan negara.
“Saya percaya Yang Amat Berhormat Menteri akan memberi pertimbangan yang sebaiknya berdasarkan kepada keperluan untuk mempertahankan dan melindungi kedaulatan negara.
“Ini termasuk (meneliti) cabaran serta keadaan geopolitik yang kita hadapi,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Siber Siaga 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), di sini hari ini.
Beliau berkata, ATM perlu berada pada tahap kesiagaan yang mampu menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
“Jadi saya percaya pihak kerajaan akan beri pertimbangan sebaik mungkin untuk memastikan kesiagaan ATM sentiasa berada pada tahap yang diharapkan,” ujarnya.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Jumaat ini.
Terdahulu, kerajaan berikhtiar untuk meningkatkan peruntukan sektor pertahanan negara melalui Belanjawan 2027.
Anwar dilaporkan berkata, ia bagi memperkasakan kesiapsiagaan ATM, selain memastikan kebajikan anggota keselamatan terus terbela. – KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027: Kesiagaan ATM perlu diberi perhatian appeared first on Kosmo Online.






