
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memastikan dana awam yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2027 diurus dan digunakan dengan sebaiknya bagi melaksanakan projek pembangunan prasarana negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, kementerian itu memikul amanah besar dalam menguruskan peruntukan pembangunan yang diberikan kerajaan, termasuk melaksanakan projek bagi kementerian lain.
Menurutnya, tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan dengan mengutamakan kepantasan dan penggunaan teknologi terkini bagi memastikan projek pembangunan dapat dijalankan sebaik mungkin.
“Amanah yang diberikan kepada KKR ini, kita (kementerian) akan jaga dengan baik kerana ia merupakan dana awam untuk membina prasarana kementerian-kementerian lain juga.
“Kita juga akan sentiasa mengutamakan kepantasan dan teknologi terkini untuk memastikan segala usaha pembangunan melalui bajet yang diberikan kepada kami dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya selepas Majlis Penutupan Persidangan Jalan Raya Malaysia Ke-13 dan Kongres Serantau Asia Pasifik Persekutuan Jalan Raya Antarabangsa (IRF) Ke-6, di ibu negara, hari ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027 memberikan peruntukkan sebanyak RM10.882 bilion kepada KKR merangkumi RM1.146 bilion bagi belanja mengurus dan RM9.736 bilion bagi belanja pembangunan.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, selain melaksanakan projek pembangunan di bawah kementerian sendiri, KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) turut bertanggungjawab melaksanakan projek bernilai berbilion ringgit bagi 27 kementerian lain.
“JKR di bawah kementerian kami melaksanakan projek yang berbilion lagi daripada kementerian lain.
“Kementerian lain memberikan bangunan mereka untuk kami bina, memberikan prasarana mereka untuk kami bina dan urus, termasuk penyelenggaraan,” katanya.
Tambahnya, tanggungjawab besar itu menuntut KKR memastikan setiap amanah yang diberikan kerajaan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. – UTUSAN
The post Belanjawan 2027: KKR pastikan dana awam diurus dengan baik appeared first on Utusan Malaysia.






