SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (LEAD Malaysia) mengemukakan lima cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 bagi melindungi pendapatan pemandu e-hailing tanpa membebankan pengguna.
Lima cadangan itu ialah memperkenalkan tambang minimum yang munasabah, menggunakan mekanisme dynamic pricing, menghentikan mekanisme bidaan tambang (bidding), menyediakan bantuan atau subsidi penyelenggaraan kenderaan atau kos operasi e-hailing secara bersasar dan mengambil langkah bagi meringankan kos insurans e-hailing.
LEAD Malaysia dalam kenyataan berkata, tambang minimum perlu menjadi kadar asas yang memberikan perlindungan kepada pemandu daripada tambang terlalu rendah, dengan mengambil kira kos minyak, tayar, servis berkala, insurans, susut nilai kenderaan serta masa dan jarak mengambil penumpang.
Menurutnya, tambang terlalu rendah boleh menyebabkan sesetengah perjalanan tidak memberikan pulangan munasabah selepas kos operasi diambil kira, sekali gus pemandu mungkin bekerja lebih lama dan melakukan lebih banyak perjalanan walaupun pendapatan bersih kekal rendah.
"Pada masa sama, LEAD Malaysia mahu mekanisme bidding dihentikan kerana persaingan antara pemandu tidak seharusnya berlaku melalui penurunan harga yang akhirnya menekan pendapatan mereka.
"Sebaliknya, penentuan tambang sewajarnya menggunakan mekanisme dynamic pricing berdasarkan permintaan dan penawaran, jarak, masa, keadaan trafik serta keadaan pasaran semasa," menurut kenyataan itu pada Khamis.
Bagaimanapun, LEAD Malaysia menegaskan kadar minimum perlu seimbang kerana tambang terlalu tinggi, khususnya bagi perjalanan pendek, boleh mengurangkan penggunaan e-hailing, terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah, pelajar dan mereka yang bergantung kepada perkhidmatan itu untuk perjalanan harian.
"Apabila permintaan berkurangan, pemandu pula menerima kurang tempahan. Akhirnya, tambang yang tinggi tidak semestinya menghasilkan pendapatan keseluruhan yang lebih baik kepada pemandu," katanya.
Selain itu, LEAD Malaysia mencadangkan Belanjawan 2027 memperkenalkan bantuan atau subsidi penyelenggaraan kenderaan atau kos operasi e-hailing secara bersasar kepada pemandu e-hailing aktif.
Dalam pada itu, kadar insurans yang semakin tinggi turut menjadi beban besar kepada pemandu dan dilihat seolah-olah tidak mempunyai kawalan yang sewajarnya.
"Justeru, kami berharap Kerajaan dapat memberi perhatian serius terhadap perkara ini serta mempertimbangkan langkah yang dapat meringankan kos insurans yang ditanggung oleh pemandu e-hailing," katanya.
LEAD Malaysia berharap Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mengambil kira keseimbangan antara pendapatan pemandu dan kemampuan rakyat dalam sebarang pengumuman berkaitan sektor e-hailing sempena Belanjawan 2027.
"Prinsipnya mudah: pemandu perlu mampu mencari rezeki, tetapi penumpang juga perlu mampu menggunakan e-hailing," tambahnya.






