Belanjawan 2027: PDRM perkukuh keupayaan operasi, perangi jenayah digital - KPN

LocalPolitics
9 Oct 2026 • 10:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Belanjawan 2027: PDRM perkukuh keupayaan operasi, perangi jenayah digital - KPN
Mohd Khalid. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengoptimumkan penggunaan peruntukan Belanjawan Madani 2027 bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan penguatkuasaan dan menangani ancaman jenayah digital yang semakin kompleks.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM komited memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara cekap dan berintegriti bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepolisan.

Beliau berkata, PDRM menghargai peruntukan RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri termasuk RM7.1 bilion bagi pembelian dan penyelenggaraan aset pasukan keselamatan.

Pembinaan Kompleks Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras dan tiga balai polis baharu di Melaka, Perak serta Sarawak turut dijangka memperkukuh infrastruktur dan keupayaan operasi pasukan.

Dalam usaha membendung jenayah digital, Mohd Khalid menyambut baik pembangunan aplikasi kecerdasan buatan oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan dan pemerkasaan sistem Malaysia Internet Crime Against Children oleh Bahagian D11 PDRM.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan dapat memperkukuh pencegahan dan pengesanan awal penipuan dalam talian serta meningkatkan perlindungan kanak-kanak daripada ancaman eksploitasi seksual.

"PDRM turut mengalu-alukan peruntukan RM1.1 bilion bagi memperhebat keupayaan operasi badan penguat kuasa dalam mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks," menurutnya dalam kenyataan malam Jumaat.

Dari segi kebajikan, Mohd Khalid turut menghargai peningkatan peruntukan RM2.3 bilion bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters penjawat awam, yang diyakini dapat meningkatkan kesejahteraan serta motivasi warga pasukan.

Beliau juga menyambut baik pelbagai inisiatif berkaitan kebajikan penjawat awam dan pesara termasuk Bantuan Khas Kewangan RM1,500 kepada penjawat awam dan RM750 kepada pesara, penambahbaikan faedah Ex-Gratia Waris Pukal serta peningkatan kadar pencen terendah kepada RM1,350 sebulan.

Selain itu, Mohd Khalid turut menghargai inisiatif kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) kepada 12,000 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta penambahbaikan berkaitan cuti bersalin dan peningkatan kadar elaun sukarelawan polis. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved