PDRM utamakan kecekapan, integriti dalam Belanjawan 2027

LocalPolitics
9 Oct 2026 • 9:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PDRM utamakan kecekapan, integriti dalam Belanjawan 2027

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan memastikan setiap peruntukan dan inisiatif yang disediakan menerusi Belanjawan 2027 dimanfaatkan secara optimum bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepolisan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, keutamaan akan diberikan kepada peningkatan kesiapsiagaan operasi, pemerkasaan keupayaan pegawai dan anggota serta pengurusan yang cekap, berintegriti dan berteraskan tatakelola baik.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan setiap pelaburan kerajaan dalam sektor keselamatan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat.

“PDRM akan memastikan setiap peruntukan dan inisiatif yang diberikan dimanfaatkan secara optimum melalui pengurusan yang cekap, berintegriti dan berteraskan tatakelola yang baik.

“Keutamaan akan diberikan kepada peningkatan kesiapsiagaan operasi, pemerkasaan keupayaan pegawai dan anggota serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepolisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas perhatian dan sokongan terhadap agenda keselamatan negara termasuk peruntukan RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta RM7.1 bilion bagi pembelian dan penyelenggaraan aset pasukan keselamatan termasuk PDRM dan badan beruniform di bawah KDN.

Katanya, pengumuman pembinaan Kompleks Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras serta tiga balai polis baharu di Sungai Rambai, Melaka; Tanjung Malim, Perak dan Batu Lintang, Sri Aman, Sarawak dilihat akan memperkukuh infrastruktur dan kesiapsiagaan operasi pasukan.

“PDRM turut mengalu-alukan peruntukan RM1.1 bilion bagi memperhebat keupayaan operasi badan penguat kuasa termasuk PDRM terutama dalam mendepani cabaran keselamatan dan jenayah yang semakin kompleks.

“Dalam menghadapi ancaman jenayah digital pula, PDRM menyambut baik pembangunan aplikasi kecerdasan buatan (AI) oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) serta pemerkasaan sistem Malaysia Internet Crime Against Children oleh Bahagian D11 PDRM,” katanya.

Dari aspek kebajikan, katanya, PDRM turut menghargai peningkatan peruntukan kepada RM2.3 bilion bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters penjawat awam termasuk kuarters polis.

“Pelbagai inisiatif berkenaan mencerminkan perhatian kerajaan terhadap kesejahteraan warga pasukan dan golongan yang menyumbang kepada keselamatan negara,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelbagai insentif dan inisiatif bagi memperkukuhkan keselamatan negara dan penjawat awam.

Antaranya, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam gred utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak serta RM750 kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen turut disambut baik pasukan.- UTUSAN

The post PDRM utamakan kecekapan, integriti dalam Belanjawan 2027 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved