liza09/10/2026 - 18:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt – Kerajaan akan mempergiat pembangunan ekonomi negeri berdasarkan keperluan masing-masing, merangkumi penyelesaian masalah infrastruktur asas, penarikan pelaburan strategik serta penciptaan peluang pekerjaan bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Menerusi pendekatan itu, kerajaan memberi tumpuan kepada isu banjir kilat di Lembah Klang, bekalan air bersih di Kelantan, kesesakan lalu lintas di Johor Bahru serta pembangunan hab industri dan teknologi di beberapa negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi menangani banjir kilat di Lembah Klang, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor akan melaksanakan lima langkah utama, termasuk menilai keupayaan Empangan Batu dan Empangan Klang Gate untuk memenuhi keperluan bagi tempoh 30 tahun akan datang.
“Sebagai langkah segera, sebanyak RM100 juta disediakan untuk membangunkan kolam takungan serta menyelenggara sungai bagi mengurangkan risiko banjir.
“Di Kelantan pula, kerajaan akan memulakan perancangan Projek Empangan Lebir sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap isu banjir dan bekalan air bersih.
“Pada masa sama, pembinaan Loji Rawatan Air Machang serta penggantian paip uzur yang sedang berjalan akan diteruskan bagi memperkukuh sistem bekalan air di negeri itu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Pulau Pinang, Perak dipacu sebagai hab industri
Dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi, Pulau Pinang akan diperkasa sebagai pusat kewangan teknologi negara.
Khazanah Nasional Bhd dan InvestPenang akan mewujudkan Dana Pelaburan Strategik berjumlah RM100 juta bagi membantu syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju pada peringkat awal pertumbuhan.
Anwar berkata di Perak, pembangunan hab maritim di Lumut menerusi LuMIC akan dipergiat bagi menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan, manakala Automotive Hi-Tech Valley di Tanjong Malim akan diangkat sebagai hab automotif serantau.
“Bagi menggalakkan syarikat vendor automotif milik tempatan sepenuhnya memindahkan operasi ke kawasan berkenaan, potongan cukai akan diberikan terhadap kos penempatan semula yang layak sehingga RM5 juta.
“Insentif itu meliputi perbelanjaan yang dibuat mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030,” jelasnya.
Sementara itu, Melaka akan memperkukuh pembangunan bakat menerusi Melaka Centre of Excellence yang menyediakan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi bagi membuka peluang pekerjaan dengan gaji lebih baik kepada anak tempatan.
Kerajaan turut bertekad mengurangkan risiko banjir di Melaka melalui pelaksanaan Projek Pemulihan Sungai dan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai.
Johor, Negeri Sembilan perkukuh infrastruktur
Di Johor, kerajaan bersetuju melaksanakan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) sebagai penyelesaian utama terhadap kesesakan lalu lintas di Johor Bahru.
“Menjelang pembukaan Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS Link), kerajaan juga akan menambah laluan dan kekerapan bas henti-henti, meningkatkan kekerapan KTM Komuter serta menyediakan perkhidmatan Grab Shuttle di kawasan tumpuan.
“Bagi Negeri Sembilan, pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 akan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur sokongan, termasuk jalan baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bandar Enstek, naik taraf Jalan Pajam-Nilai-Salak dan pelaksanaan projek Klang Valley Dual Track 2.
“Pembangunan infrastruktur itu dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan hubungan antara kawasan industri dan pusat aktiviti ekonomi,” katanya.
ECRL, Lembah Chuping pacu pertumbuhan wilayah
Di Pantai Timur, pembangunan di sepanjang jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diperkukuh bagi merancakkan ekonomi Pahang, termasuk menyokong pembangunan industri berat di Bentong dan perumahan rakyat berhampiran stesen KotaSAS.
Di Perlis pula, pembangunan infrastruktur di Lembah Chuping dan NCER Agribio Economic Zone akan diteruskan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.
Pelabuhan Darat Perlis turut akan dilengkapi mesin pengimbas bagi melancarkan urusan perdagangan serta memperkukuh keselamatan sempadan.
Di Kedah, kerajaan memberi tumpuan kepada dua sektor utama negeri itu, iaitu pertanian dan teknologi tinggi.
Kulim Hi-Tech Park akan terus menjadi pemangkin kepada pelaburan semikonduktor antarabangsa, sekali gus membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan perniagaan kepada penduduk tempatan.
Pada masa sama, Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terus diberi keutamaan bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan pesawah.
Terengganu perkukuh ekopelancongan
Terengganu akan terus dipacu sebagai destinasi ekopelancongan menerusi penaiktarafan produk pelancongan utama, termasuk Setiu Wetlands, Tasik Kenyir, Pulau Tenggol dan Pulau Bidong.
Selain sektor pelancongan, kerajaan turut memberi perhatian kepada kesejahteraan penduduk melalui pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di bandar Kuala Terengganu.
Anwar berkata pendekatan pembangunan mengikut keperluan negeri itu mencerminkan usaha kerajaan memastikan negeri yang telah maju terus berkembang, negeri yang sedang membangun mendapat ruang untuk mempercepat pertumbuhan, manakala negeri yang masih ketinggalan dibantu merapatkan jurang pembangunan,” katanya. - DagangNews.com






