Belanjawan 2027 peluang penting hubungkan kebimbangan isi rumah dengan aspirasi jangka panjang negara

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 4:52 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Belanjawan 2027 peluang penting hubungkan kebimbangan isi rumah dengan aspirasi jangka panjang negara

PETALING JAYA – Tekanan kos sara hidup, ketidakpastian mengenai hala tuju jangka panjang Malaysia, kebimbangan terhadap perpaduan sosial dan rasa kecewa terhadap pertikaian politik yang berterusan semakin mempengaruhi pandangan rakyat  terhadap masa depan, demikian menurut kajian kualitatif kecil oleh Datametrics Research and Information Centre (DARE).

Kajian kualitatif berskala kecil ini dijalankan menjelang pembentangan Belanjawan 2027, dalam
konteks landskap politik negeri dan nasional Malaysia yang terus berubah.

Ia juga bertujuan memberikan gambaran awal mengenai bagaimana rakyat  melihat tekanan yang dihadapi isi rumah ketika ini, selain pandangan mereka terhadap hala tuju negara dalam jangka panjang.

Kajian ini juga direka sebagai tinjauan kualitatif bagi mengukur sentimen semasa, dan bukannya tinjauan nasional yang mewakili keseluruhan populasi secara statistik manakala peserta ditanya soalan umum berdasarkan empat tema utama.

Image from: Belanjawan 2027 peluang penting hubungkan kebimbangan isi rumah dengan aspirasi jangka panjang negara
Pankaj Kumar

Pengarah Urusan DARE, Paankaj Kumar berkata,  satu perkara yang sering diketengahkan dalam perbincangan kebimbangan terhadap masa depan adalah apabila peserta kajian kerap menyentuh mengenai peningkatan kos barangan dan keperluan harian, perumahan serta kos membesarkan keluarga.

Menurut beliau, ada juga yang mempersoalkan sama ada dasar ekonomi Malaysia diterjemahkan dengan cukup pantas kepada perubahan yang benar-benar dapat dirasai di peringkat isi rumah.

“Turut timbul perasaan bahawa Malaysia memerlukan hala tuju nasional yang lebih jelas dan mudah difahami, satu hala tuju yang mampu menyatukan kerajaan, sektor perniagaan dan rakyat biasa di bawah matlamat bersama,” jelasnya.

Selain itu, Pankaj Kumar menerangkan, kajian tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai
tinjauan pendapat, sebaliknya sebagai satu usaha untuk memahami isu dan sentimen yang mendasari angka-angka utama ekonomi.

“Malaysia mempunyai kerangka dasar dan pelbagai program ekonomi, tetapi apa yang jelas daripada perbincangan ini ialah wujudnya keinginan terhadap sesuatu yang lebih besar dan lebih jelas iaitu satu hala tuju nasional yang boleh difahami, disertai dan diyakini oleh rakyat biasa,” ujarnya.

Tambah beliau,  dapatan kajian turut menunjukkan bahawa pembuat dasar perlu melihat perpaduan sosial sebagai sebahagian daripada infrastruktur ekonomi.

Image from: Belanjawan 2027 peluang penting hubungkan kebimbangan isi rumah dengan aspirasi jangka panjang negara
Gambar hiasan

“Sesebuah negara tidak dapat merealisasikan potensi ekonominya jika terlalu banyak tenaga negara dihabiskan untuk pertikaian politik dan polemik perkauman.

“Kepelbagaian Malaysia secara sejarahnya merupakan antara kekuatan negara. Cabarannya adalah untuk memastikan rakyat terus melihat diri mereka sebagai pemegang kepentingan dalam masa depan yang dikongsi bersama,” jelas beliau.

Pankaj memaklumkan, Belanjawan 2027 memberikan peluang penting untuk menghubungkan
kebimbangan isi rumah ketika ini dengan aspirasi jangka panjang negara.

“Rakyat sememangnya mahukan sedikit kelegaan hari ini, tetapi pada masa yang sama mereka juga mahukan keyakinan terhadap hari esok. Malaysia perlu mampu melakukan kedua-duanya iaitu menangani harga barangan keperluan pada bulan ini sambil membangunkan industri, kemahiran, infrastruktur dan peluang yang akan menentukan masa depan generasi akan datang.

“Kita sering mendengar tentang pelbagai pelan dan program, tetapi sebagai rakyat biasa, saya
tidak begitu pasti Malaysia mahu menjadi apa dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang,” jelasnya.

Pankaj menjelaskan, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menjalankan kajian nasional yang lebih besar dan tersusun bagi meneliti pandangan rakyat mengenai kos sara hidup, peluangekonomi, mobiliti antara generasi, perpaduan nasional, kestabilan politik serta hala tuju jangka panjang negara.

“Di sebalik angka KDNK dan naratif politik, pembuat dasar perlu memahami satu persoalan yang
sangat mudah iaitu Bagaimanakah rakyat  sebenarnya melihat negara mereka, peluang yang
tersedia untuk mereka dan masa depan mereka?,” terangnya. -KOSMO! ONLINE

The post Belanjawan 2027 peluang penting hubungkan kebimbangan isi rumah dengan aspirasi jangka panjang negara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved