
DALAM era di mana krisis iklim dan kehilangan kepelbagaian biologi semakin mendesak, sektor korporat Malaysia perlu tampil sebagai pelindung baharu kepada alam sekitar.
Sumbangan mereka terhadap kepelbagaian biologi marin bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi menjadi strategi jangka panjang yang berasaskan kelestarian alam dan pemerkasaan komuniti.
Ekosistem marin yang stabil, tidak tercemar dan dilindungi memberikan manfaat langsung kepada nelayan pantai, komuniti pesisir, serta kelangsungan ekonomi negara.
Antara pihak korporat yang menonjol ialah sektor maritim dan logistik seperti MISC Berhad, yang memfokuskan kepada perlindungan penyu dan restorasi terumbu karang dengan kerjasama universiti tempatan.
Sektor minyak dan gas pula, melalui Yayasan Petronas, melabur dalam program Nature-based Solutions dengan projek pemetaan rumput laut dan pemeliharaan hutan paya bakau bagi memperkukuh ekosistem karbon biru.
Syarikat barangan pengguna seperti Nestle Malaysia menekankan ekonomi kitaran melalui pembersihan sisa plastik pantai dan pembuangan pukat hantu, menyelamatkan hidupan marin daripada ancaman jaring terbiar.
Sektor perbankan seperti Etiqa serta institusi pembuatan turut melabur dalam pembiayaan hijau dan kejuruteraan tukun tiruan untuk pembiakan semula batu karang.
Yayasan JCorp pula aktif dalam program pemulihan batu karang, manakala SD Guthrie Berhad menyumbang kepada pemuliharaan zon pesisir pantai dan ekosistem karbon biru.
Gabungan dana dan kepakaran ini menjadi pemacu utama kelangsungan kepelbagaian biologi marin negara.
Sumbangan korporat mesti berfokus kepada jangka panjang, melibatkan pendidikan dan penyelidikan melalui kerjasama universiti serta institusi saintifik.
Yayasan Petronas, misalnya, membuktikan komitmen mereka melalui pembangunan Pusat Pengajian Kanyon Imbak (ICSC) di Sabah, menjadikan hutan hujan sebagai bank gen dan pusat penyelidikan kepelbagaian biologi bertaraf dunia.
Program penanaman puluhan ribu pokok di seluruh negara, termasuk ekosistem bakau, memperlihatkan usaha nyata dalam memulihkan habitat terosot.
Bakau bukan sahaja benteng semula jadi menentang hakisan pantai, tetapi juga habitat penting bagi ikan, reptilia, burung, dan mamalia marin.
Dalam ekosistem marin, Yayasan Petronas bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan Pusat Biodiversiti Sabah untuk melaksanakan pemetaan rumput laut.
Rumput laut bukan sekadar habitat ikan, penyu dan dugong, tetapi juga penyerap karbon semula jadi yang penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.
Inisiatif ini memperkukuh daya tahan komuniti pesisir terhadap ancaman hakisan pantai dan perubahan iklim.
Pendekatan inklusif Yayasan Petronas turut melibatkan komuniti dan universiti tempatan, menjadikan pemuliharaan bukan hanya agenda saintifik tetapi juga agenda sosial yang meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Namun, cabaran besar masih menanti. Kawasan pantai Teluk Air Tawar, Kuala Gula-Matang, pantai Selangor dan Johor kini berdepan ancaman hakisan pantai yang semakin kritikal.
Selat Melaka yang menerima lebih 100,000 pergerakan kapal setahun memberi tekanan besar kepada ekosistem batu karang, rumput laut, dan bakau.
Pencemaran kimia berbahaya serta plastik akibat perindustrian, pertanian, perbandaran dan perkapalan terus menjejaskan kepelbagaian biologi marin.
Kajian bioindikator seperti bentos dan ikan medaka perlu diperkukuh untuk menilai tahap pencemaran, termasuk kesan bahan tributyltin (TBT).
Walaupun penggunaannya dalam cat anti pengotoran pada kapal telah diharamkan oleh
Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) sejak 2008, namun TBT masih dikesan dalam ekosistem laut.
Pencemaran TBT memberi kesan kronik kepada burung hijrah pantai melalui rantaian makanan, menyebabkan penipisan kulit telur, pengurangan kadar kesuburan, kecacatan anak burung, serta gangguan tingkah laku migrasi.
Ancaman ini bukan sahaja menjejaskan populasi burung hijrah global, tetapi juga ekosistem pesisir yang bergantung kepada keseimbangan rantai makanan.
Petronas dengan kapasiti penyelidikan mereka boleh memainkan peranan penting dalam menyokong kajian saintifik ini, sekali gus membantu kerajaan merangka dasar pemuliharaan yang lebih berkesan.
Kawasan tanah lembap seperti Lembangan Kertih boleh dijadikan model pemuliharaan ekosistem pembiakan ikan dan invertebrata penting kepada nelayan tempatan.
Kajian menyeluruh terhadap pantai dan laluan burung hijrah di sepanjang East Asian-Australasian Flyway (EAAF) juga perlu diperkukuh kerana Malaysia merupakan titik persinggahan kritikal bagi spesies burung migrasi.
Selain itu, sumber gamat di Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi menunjukkan pengurangan populasi akibat eksploitasi komersial. Kekurangan bekalan semula jadi memaksa pengimportan gamat mentah.
Projek rehabilitasi dan pembiakan semula perlu dijalankan segera bagi memulihkan populasi haiwan marin tersebut, sekali gus mengembalikan keseimbangan ekologi.
Inisiatif SD Guthrie Berhad melalui Pusat Penyelidikan Paya Bakau Pulau Carey yang ditubuhkan sejak tahun 2009 memfokuskan kepada kelestarian marin dan pesisir pantai suatu yang mesti diteruskan.
Perancangan pembangunan Pulau Carey untuk aktiviti pelabuhan bertaraf dunia, menuntut pusat penyelidikan ini diperkasakan.
Usaha syarikat korporat membuktikan bahawa pemuliharaan kepelbagaian biologi marin bukan lagi tanggungjawab kerajaan semata-mata.
Ia kini menjadi agenda bersama yang menggabungkan dana korporat, kepakaran saintifik dan sokongan komuniti.
Dengan pendekatan bersepadu ini, Malaysia berpeluang bukan sahaja melindungi ekosistem marin, tetapi juga menjadikan kepelbagaian biologi sebagai aset strategik negara.
Mungkin sempena sambutan Hari Maritim 2026 ini, satu tabung penyelidikan pemuliharaan ekosistem marin boleh ditubuhkan untuk sumbangan pihak korporat berkaitan.
Jika kita gagal bertindak, generasi akan datang hanya akan mewarisi laut yang kosong dan pantai yang hilang. Tetapi jika kita terus komited, dari dasar laut hingga ke puncak bakau, harapan masa depan akan terus hidup. – UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia (ASM).
The post Sektor korporat perlu main peranan lindungi alam sekitar appeared first on Utusan Malaysia.






