Belanjawan 2027: Perkukuh kebajikan OKU, warga emas - YKN

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 5:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Belanjawan 2027: Perkukuh kebajikan OKU, warga emas - YKN
Peruntukan OKU dalam Belanjawan 2027 membantu meringankan beban perbelanjaan penjagaan dan keperluan harian penerima serta keluarga mereka. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Peningkatan peruntukan pada Belanjawan 2027 kepada kumpulan rentan dapat memperkukuhkan kebajikan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pembangunan ekonomi penjagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron berkata, perkara itu melibatkan peruntukan keseluruhan bantuan OKU berjumlah RM1.5 bilion dan kenaikan kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik daripada RM500 kepada RM600 sebulan.

"Langkah ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan penjagaan dan keperluan harian penerima serta keluarga mereka.

"Peningkatan ambang pendapatan bagi kelayakan Elaun Pekerja OKU daripada RM1,700 kepada RM2,000 turut memperluas akses kepada sokongan bagi OKU yang bekerja, sekali gus menyokong usaha mereka untuk berdikari,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Nordina berkata, peningkatan peruntukan Bantuan Warga Emas kepada RM1.3 bilion untuk manfaat hampir 200,000 penerima, serta penggubalan Rang Undang-Undang Warga Emas, mencerminkan perhatian terhadap kebajikan, perlindungan dan keperluan penjagaan golongan itu.

Beliau turut menyambut baik inisiatif penyediaan lebih RM40 juta melalui HRD Corp untuk melatih 8,000 tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas, serta pembekalan kemahiran khusus kepada 3,000 penjaga OKU baharu.

“Usaha ini penting untuk meningkatkan keupayaan tenaga penjagaan, memperkukuh mutu perkhidmatan dan membuka peluang pekerjaan dalam sektor yang semakin diperlukan.

“Pengukuhan ekonomi penjagaan merupakan pelaburan jangka panjang sebagai persediaan menuju negara tua. Sokongan perlu merangkumi kesejahteraan penerima jagaan serta kesihatan emosi dan daya tahan penjaga, khususnya ahli keluarga yang memikul tanggungjawab tersebut,” ujarnya.

Tambah Nordina, pihaknya komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk rakan korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh jaringan sokongan sosial untuk kumpulan sasar selaras dengan peranan dan fokus utama YKN yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

“Melalui perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), YKN akan terus mendekatkan sokongan kaunseling dan psikososial kepada masyarakat, termasuk keluarga serta penjaga yang berdepan tekanan dalam mengurus tanggungjawab harian.

“YKN berharap langkah yang diumumkan ini dapat memperluas akses kepada bantuan dan penjagaan berkualiti, serta memastikan OKU dan warga emas terus disantuni dengan bermaruah,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved