
PETALING JAYA, 19 OGOS: Belanjawan 2027 perlu memberi keutamaan kepada aspek aksesibiliti dan kemudahan golongan orang kurang upaya (OKU) serta warga emas termasuk di kawasan bandar dan luar bandar.
Presiden Persatuan OKU Sentral (OKU Sentral), Datuk Ras Adiba Radzi berkata perkara itu antara yang dibawa dalam sesi libat urus Belanjawan 2027 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan, semalam.
“Kerajaan perlu memperbaiki dan menggubal Akta OKU dengan segera bagi memastikan hak serta keperluan golongan berkenaan terus dilindungi, baik di bandar mahupun luar bandar.
“Selain itu, Akta Warga Emas juga perlu diperkukuh bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan lebih terjamin memandangkan Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Tinjauan Media bersama OKU Sentral di Stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Damansara Idaman, di sini, hari ini.

Menurut Ras Adiba, perhatian terhadap warga emas penting bagi memastikan golongan itu mendapat penjagaan, kemudahan dan sokongan sewajarnya apabila negara memasuki fasa negara menua.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan tidak meminggirkan golongan OKU, sebaliknya terus menyediakan sokongan dan kemudahan yang diperlukan.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini dengan bertemakan reformasi ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Belanjawan MADANI kelima itu akan memberi tumpuan kepada 10 bidang utama termasuk kos sara hidup, perlindungan sosial, gaji bermaruah serta peralihan tenaga dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).






