hamden18/08/2026 - 16:36 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos - Belanjawan 2027 akan memberi tumpuan kepada 10 bidang utama yang berteraskan tiga tonggak Ekonomi MADANI dan keutamaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan ekonomi kekal sebagai agenda utama kerajaan.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata setiap dasar, inisiatif dan peruntukan akan dirangka bagi memberikan manfaat nyata kepada rakyat, termasuk mengurangkan tekanan kos sara hidup, meningkatkan pendapatan, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan menjamin kehidupan yang lebih bermaruah.
“Suara rakyat akan didengari, kebimbangan mereka ditangani dengan penuh keprihatinan dan harapan mereka diterjemahkan kepada tindakan,” kata kementerian itu dalam Kenyataan Prabelanjawan 2027.
10 bidang tumpuan Belanjawan 2027
Menurut MOF, antara bidang utama yang menjadi tumpuan ialah keadilan sosial dan pembangunan untuk semua, termasuk usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dengan memberi perhatian kepada Sabah, Sarawak, kawasan luar bandar dan pedalaman.
Kerajaan turut memberi penekanan kepada usaha melindungi rakyat daripada cabaran kos sara hidup, termasuk penambahbaikan penyasaran subsidi dan bantuan sosial berasaskan data serta kriteria kelayakan yang jelas.
Kuasa beli golongan rentan akan terus dilindungi menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI, selain usaha menstabilkan harga barangan keperluan melalui penguatkuasaan, Jualan Rahmah MADANI dan pengurusan bekalan strategik.
Bidang ketiga ialah memperkukuh perlindungan sosial untuk keluarga terjejas, termasuk menilai semula kecukupan dan kemampanan sistem perlindungan sosial negara.
Tumpuan turut diberikan kepada memperluas perlindungan kepada pekerja tidak formal, pekerja gig dan kumpulan rentan supaya lebih ramai rakyat mempunyai jaringan keselamatan sosial yang mencukupi.
Kerajaan juga akan memperkasa pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas rakyat, dengan reformasi pendidikan memberi penekanan kepada literasi dan numerasi, TVET, STEM, keupayaan digital dan AI, penguasaan bahasa serta pembangunan sahsiah.
Dalam sektor kesihatan, usaha akan ditumpukan kepada memperluas akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan mampu milik, mengurangkan kesesakan di fasiliti awam, memperkukuh tenaga kerja kesihatan serta meningkatkan pencegahan penyakit.

Disiplin fiskal terus diberi keutamaan
Belanjawan 2027 turut akan menyeimbangkan antara disiplin fiskal dan keperluan menyokong pertumbuhan serta perbelanjaan awam.
Antara keutamaan ialah memperbaiki pengurusan subsidi, meningkatkan kecekapan perbelanjaan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat, mempertingkat pematuhan cukai dan memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan nilai terbaik kepada rakyat.
Kerajaan turut mahu memperkukuh tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan awam melalui reformasi dalam pengurusan fiskal, perolehan, audit, antirasuah dan kecekapan perkhidmatan awam.
Usaha mengurangkan beban peraturan serta tempoh kelulusan, khususnya bagi pelaburan dan pengembangan perniagaan, turut menjadi agenda.
Pekerjaan berkualiti, TVET dan AI
Belanjawan 2027 juga memberi tumpuan kepada kebajikan pekerja dan tahap gaji yang lebih bermaruah.
MOF berkata program TVET diterajui industri, perantisan dan latihan semula akan diperluas mengikut keperluan sektor strategik, selain penekanan terhadap literasi AI, keupayaan digital dan pembelajaran sepanjang hayat untuk pekerja serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kerajaan turut akan meneruskan sokongan pembiayaan pada peringkat pertumbuhan bagi syarikat pemula, syarikat bersaiz sederhana dan PKS inovatif, selain mempelbagaikan pasaran eksport.
Semikonduktor, AI antara sektor strategik
Dari sudut pertumbuhan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaburan dan pekerjaan bernilai tinggi, dengan sektor strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa terus diberi keutamaan.
MOF berkata Malaysia perlu memperkasakan lebih banyak syarikat tempatan yang mampu berinovasi, berkembang dan bersaing di pasaran ASEAN serta global.
Dalam masa sama, pembangunan akan terus berteraskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.
Tenaga bersih, makanan dan keselamatan siber
Kerajaan turut memberi penekanan kepada keterjaminan tenaga, makanan, iklim dan siber susulan cabaran geopolitik, iklim, teknologi dan komoditi.
Antara fokus ialah memperkukuh peralihan kepada tenaga bersih, meningkatkan produktiviti agromakanan serta teknologi pertanian dan mempercepatkan rancangan tebatan banjir, kesiapsiagaan bencana serta adaptasi perubahan iklim.
Keselamatan siber, pencegahan penipuan dalam talian, daya tahan data dan perlindungan infrastruktur kritikal turut diangkat sebagai komponen keselamatan negara.
MOF berkata kesemua 10 bidang tumpuan itu akan diperhalusi menerusi maklum balas rakyat, komuniti perniagaan dan pihak berkepentingan sebelum dimuktamadkan.
Kerajaan optimis Belanjawan 2027 akan membawa Malaysia selangkah lebih dekat kepada merealisasikan visi Ekonomi MADANI meskipun berdepan cabaran domestik dan luaran, termasuk krisis tenaga global serta tekanan kos sara hidup.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober 2026. - DagangNews.com





