Belanjawan 2027: Usaha tingkat pendapatan rakyat

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Belanjawan 2027: Usaha tingkat pendapatan rakyat

PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, memperluas peluang pekerjaan berkualiti dan menangani cabaran kos sara hidup melalui pendekatan yang bersasar dan mampan.

Perkara itu antara tumpuan kerajaan dalam merangka Belanjawan Madani Kelima 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, matlamat utama adalah untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai dengan lebih menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat.

Menurut beliau, tumpuan Belanjawan 2027 adalah melibatkan tiga bidang utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan memperkukuh tatakelola baik.

“Belanjawan 2027 merupakan belanjawan yang mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global dan harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap penyampaian kerajaan.

“Ini termasuk memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi
negara, melindungi kese­jahteraan dan melaksanakan langkah-langkah meningkatkan kemampanan fiskal,” katanya ketika berucap pada majlis libat urus Belanjawan 2027 di sini semalam.

Amir Hamzah berkata, da­lam usaha menaikkan siling, kerajaan meneruskan komitmen memperkukuh daya saing ekonomi negara dengan menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi, meningkatkan produktiviti dan mempercepat pembangunan sektor-sektor strategik yang mampu menjana nilai tambah, pekerjaan berpendapatan tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Katanya, tumpuan akan te­rus diberikan kepada sektor seperti semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kewangan Islam.

Selain itu, kerajaan memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat pemula (start-up) sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan akses kepada pembiayaan, pendigitalan, inovasi serta pengembangan pasaran agar lebih banyak produk dan perkhidmatan tempatan mampu menembusi rantaian nilai global sebagai Made by Malaysia.

“Kerajaan menggalakkan bu­daya inovasi, penyelidikan dan pengkomersialan teknologi bagi mewujudkan pertumbuhan ek­onomi yang dipacu oleh penciptaan nilai,” katanya.

Amir Hamzah berkata, tumpuan kerajaan kekal untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat selari dengan agenda RMK13 untuk memperkukuh sistem pendidikan, meningkatkan kua­liti perkhidmatan kesihatan dan memperkasa pembangunan modal insan sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

“Kerajaan menghargai pe­ranan NGO, pertubuhan ma­syarakat sivil dan rakan strategik dalam memastikan bantuan serta intervensi sosial dapat disampaikan dengan lebih menyeluruh, khususnya kepada golongan rentan.

“Kerjasama ini penting bagi memperkukuh jaringan perlindungan sosial agar tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh tatakelola baik, kerajaan berusaha memperkukuh ekosistem perniagaan melalui menambah baik peraturan, memudah cara pelaburan, pendigitalan penyampaian perkhidmatan ser­ta mengurangkan kerenah birokrasi bagi terus meningkatkan lagi daya saing negara. – UTUSAN

The post Belanjawan 2027: Usaha tingkat pendapatan rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved