
PETALING JAYA – Peruntukan RM1.1 bilion diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Belanjawan 2027 kepada lima agensi penguatkuasaan, akan memperkukuh hasil negara dan membanteras ketirisan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, peruntukan tersebut mencerminkan sokongan berterusan Kerajaan Madani terhadap agensi penguatkuasaan dan akan meningkatkan kesiapsiagaan serta keberkesanan operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam membanteras penyeludupan, mengekang ketirisan hasil dan melindungi kepentingan ekonomi negara.
Menurutnya, JKDM menyokong dasar, hala tuju dan inisiatif ekonomi yang digariskan dalam Belanjawan 2027 bagi memelihara kestabilan ekonomi serta membanteras ketirisan hasil negara.
“Bagi menjamin kestabilan ekonomi peniaga tempatan, JKDM telah mempergiat penguatkuasaan ke atas premis perniagaan warga asing yang tidak mematuhi undang-undang dan terlibat dalam penyelewengan cukai.
“Ini melalui operasi bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Pasukan Petugas Khas Kementerian Kewangan (MOF) di samping operasi berasingan yang dilaksanakan oleh JKDM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, menerusi operasi-operasi dilaksanakan sepanjang Julai hingga Ogos 2026 di sekitar Lembah Klang, Selangor dan Johor, JKDM telah merampas 429,526 batang rokok dan 7,773.93 liter minuman keras, dengan jumlah keseluruhan nilai barangan termasuk duti dan cukai sebanyak RM715,695.26.
“Seramai 23 individu turut ditahan bagi membantu siasatan. Hasil operasi ini mencerminkan usaha berterusan JKDM dalam melindungi hasil negara dan meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang.
“JKDM turut menyokong usaha Kerajaan Madani untuk meringankan beban rakyat dan mengurangkan kos perniagaan,” katanya.
Katanya, sehubungan itu, JKDM menyambut baik pemberian pengecualian duti dan cukai kepada masyarakat, pemain industri serta peniaga sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 bagi merangsang aktiviti ekonomi.
Dalam pada itu, JKDM turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman Bantuan Khas sebanyak RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam.
“Bantuan ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap kebajikan penjawat awam serta menjadi dorongan kepada warga jabatan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion kepada JKDM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi memperkukuh keupayaan operasi. – KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027: Peruntukan RM1.1 bilion kekang ketirisan hasil negara appeared first on Kosmo Online.






