SHAH ALAM - Belanjawan 2027 dikhuatiri gagal melonjakkan ekonomi negara ke hadapan sekiranya tidak disusuli reformasi berani dan pelaksanaan berkesan.
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, kejayaan belanjawan tidak bergantung pada jumlah peruntukan atau pengumuman semata-mata, tetapi pada kejujuran politik, ketelusan pelaksanaan serta kesediaan kerajaan menerima proses semak dan imbang.
Beliau yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN) berkata, Belanjawan 2027 dibentangkan dalam persekitaran ekonomi dan politik yang mencabar dengan tumpuan kepada penyaluran bantuan, sumbangan tunai, pengumuman projek serta pelbagai janji kepada rakyat.
“Tanpa reformasi yang berani dan pelaksanaan yang berkesan, Belanjawan 2027 dikhuatiri gagal melonjakkan ekonomi ke hadapan, sebaliknya sekadar mengekalkan negara dalam keadaan ‘berlari di tempat yang sama’ ketika Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) baru sahaja bermula.
"Di sinilah letaknya ujian sebenar Belanjawan 2027, belanjawan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Syahir berpandangan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus yang diunjurkan pada 2027 perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat, khususnya dalam menangani tekanan kos sara hidup.
"Dalam Belanjawan 2027, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM461.8 bilion berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM380.8 bilion, dengan sasaran defisit fiskal pada kadar 3.3 peratus daripada KDNK.
"Perbelanjaan mengurus (OE) terus meningkat kepada RM376.8 bilion, manakala perbelanjaan pembangunan (DE) dan keperluan pembiayaan defisit akan terus memberikan tekanan kepada kedudukan fiskal negara, dengan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan kini mencecah RM1.379 trilion," katanya.
Syahir mengingatkan, setiap peruntukan perlu dinilai berdasarkan kesannya kepada kehidupan rakyat di segenap pelosok negara dan merentas lapisan masyarakat.
Menurutnya, subsidi dan bantuan tunai perlu disokong langkah menangani masalah gaji rendah, kenaikan harga barang serta kekurangan pekerjaan berkualiti, selain memantau pelaksanaan gaji minimum dan menilai beban kewangan isi rumah.
Kata beliau, Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Ekonomi perlu menilai beban kewangan isi rumah secara menyeluruh, khususnya dalam kalangan B40 dan M40.
"Paling penting, kewangan negara hendaklah diurus secara berhemah melalui disiplin fiskal bagi mengelakkan berulangnya amalan ketirisan, pembaziran, rasuah dan salah guna kuasa.
"Pemantauan, audit dan hisbah hendaklah diperkukuh bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Justeru kata beliau, sebagai blok pembangkang, Pas dan PN komited untuk mengambil bahagian secara aktif, kritikal dan membina dalam perbahasan Belanjawan 2027.
"Ahli Parlimen Pas dan PN akan meneliti bantuan, program dan projek yang diumumkan, mencadangkan penambahbaikan pelaksanaan, menuntut ketelusan agihan peruntukan dan memperjuangkan hak serta suara negeri-negeri yang masih ketinggalan dalam pembangunan nasional," menurutnya.
Beliau menyifatkan, komitmen itu selari dengan gagasan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 2051) yang diketengahkan oleh Pas untuk membina sebuah negara yang makmur, adil, berintegriti dan berkebajikan.






