KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin dapat membelanjakan RM510 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2027 tanpa memperkenalkan cukai baharu, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa menekan aspek tatakelola untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran dalam sistem sedia ada bagi meningkatkan efisiensi perbelanjaan negara.
"Pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan apa yang kita belanja itu adalah perbelanjaan yang sepatutnya dibelanja untuk meningkatkan (ekonomi) negara dan untuk rakyat.
"Bila kita ada fokus dan menggalas amanah dengan baik, kerajaan dan negara akan lebih berjaya (pada) masa depan," katanya dalam rancangan Bicara Naratif, disiarkan di RTM 1 bertajuk "Belanjawan 2027: Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi", pada Isnin.
Amir Hamzah berkata, data-data ekonomi negara yang terus mengukuh mencerminkan keyakinan daripada pelabur-pelabur luar untuk terus melabur di Malaysia, sekali gus mampu menjana pendapatan negara.
"Tapi yang pentingnya, kita pastikan bila hasil itu ada, kita belanjakan dengan cara yang baik, kita menutup ruang-ruang untuk ketirisan yang berlaku dan kita meningkatkan pulangan yang kita dapat dengan cara yang lebih efisien dalam perbelanjaan kerajaan dan ini akan diikat dengan pengenalan beberapa undang-undang baru," katanya. - Bernama





