
KUALA LUMPUR - Peruntukan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM16 bilion pada 2027 berbanding RM15 bilion tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata menerusi langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, semua penerima STR akan menerima bantuan SARA bulanan sehingga RM150, bersamaan RM1,800 setahun.
Inisiatif itu dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima.
Dalam perkembangan berkaitan, semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima bantuan SARA bernilai RM100 sebanyak dua kali, iaitu menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara.
Anwar berkata, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada sehingga 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan sederhana dalam kumpulan M40.
“Kerajaan juga akan membenarkan kredit SARA digunakan untuk membeli barangan segar di 216 pasar tani dan pasar tamu kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan turut menyasarkan peluasan capaian program itu dengan meningkatkan jumlah kedai runcit kecil yang mengambil bahagian kepada 10,000 premis menjelang akhir tahun ini. - Getaran, 9 Oktober 2026





