Belanjawan 2027: Sahabat Alam Malaysia mahu kelulusan pusat data baharu dihentikan sementara

LocalEnvironment
6 Oct 2026 • 3:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Sahabat Alam Malaysia mahu kelulusan pusat data baharu dihentikan sementara Image from: Belanjawan 2027: Sahabat Alam Malaysia mahu kelulusan pusat data baharu dihentikan sementara liza06/10/2026 - 15:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt – Kerajaan disaran menghentikan sementara kelulusan dan pembinaan pusat data baharu sehingga kesannya terhadap alam sekitar, khususnya penggunaan air dan tenaga, dinilai secara menyeluruh.

 

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, Belanjawan 2027 juga perlu memberi keutamaan kepada perlindungan alam sekitar dengan memastikan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), rundingan awam dan penglibatan komuniti dilaksanakan dengan sewajarnya dalam proses membuat keputusan.

 

Katanya, perkara itu penting khususnya dalam menentukan lokasi pusat data, yang perlu mengambil kira kesannya terhadap sumber air dan tenaga.

 

“Kerajaan juga wajar tidak memberikan insentif atau sokongan fiskal kepada sektor pusat data sehingga kebimbangan alam sekitar berkaitan industri itu ditangani secara menyeluruh.

 

“Selain itu, kerajaan perlu memastikan EIA, rundingan awam dan penglibatan komuniti diwujudkan dalam proses membuat keputusan, khususnya apabila menentukan lokasi pusat data,” katanya.

 

SAM mahu peruntukan ETF ditingkatkan

Dalam pada itu, SAM menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi (ETF) bagi menggalakkan negeri memelihara hutan dan biodiversiti.

 

Meenakshi berkata, peruntukan ETF untuk usaha perlindungan dan pemuliharaan kepada negeri meningkat daripada RM200 juta kepada RM250 juta menerusi Belanjawan tahun lalu.

 

Katanya, peningkatan yang lebih ketara diperlukan dalam Belanjawan 2027 bagi menyediakan insentif kepada negeri untuk mengekalkan hutan dan biodiversiti dalam keadaan baik.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, pemberian ETF perlu hanya diberikan kepada negeri yang mematuhi semua pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 yang diperkenalkan pada 2022.

 

Antara pindaan itu ialah keperluan mendapatkan penyertaan awam sebelum mana-mana kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dinyahwartakan.

 

Kawasan HSK yang dinyahwartakan juga perlu digantikan pada masa sama dengan kawasan baharu yang mempunyai keluasan sama atau lebih besar.

 

Meenakshi berkata Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang yang enggan menerima pakai pindaan penting berkenaan tidak sepatutnya diberikan peruntukan ETF, katanya lapor Sinar Daily.

 

Sebaliknya, negeri yang mematuhi semua pindaan Akta Perhutanan Negara wajar diberikan ganjaran melalui peningkatan peruntukan ETF.

 

Lebih banyak sumber untuk adaptasi perubahan iklim

Mengenai perubahan iklim, Meenakshi berkata lebih banyak sumber diperlukan bagi langkah adaptasi dan meningkatkan daya tahan iklim (climate resilience), susulan kesannya yang semakin ketara.

 

Beliau berkata peningkatan suhu, gelombang haba, kebakaran hutan, hujan lebat dan banjir memerlukan perhatian lebih besar daripada semua peringkat kerajaan, termasuk usaha menangani kehilangan dan kerosakan akibat cuaca ekstrem.

 

Menurutnya, kerajaan biasanya memberi tumpuan kepada peruntukan mitigasi banjir, namun pendekatan yang dilaksanakan masih banyak bergantung kepada infrastruktur dan kaedah kejuruteraan konvensional.

 

“Oleh itu, keutamaan lebih besar perlu diberikan kepada pendekatan berasaskan ekosistem, termasuk mewujudkan ‘sponge city’, melindungi dan memperluas kawasan hijau serta menanam lebih banyak pokok,” katanya.

 

SAM mahu cukai karbon diperkenalkan

SAM turut berharap cukai karbon terhadap sektor besi dan keluli yang dijanjikan kerajaan tahun lalu dapat diperkenalkan menerusi Belanjawan 2027.

 

Meenakshi berkata cukai berkenaan pada akhirnya perlu diperluaskan kepada industri berintensiti karbon tinggi lain termasuk sektor penjanaan tenaga dan petrokimia.

 

Katanya, hasil kutipan cukai karbon boleh disalurkan untuk membiayai subsidi peralihan kepada tenaga boleh baharu, selain membantu golongan miskin dan rentan yang terkesan akibat kos tenaga tinggi.

 

SAM turut menggesa kerajaan memperkenalkan langkah tambahan bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu, termasuk meningkatkan sokongan kepada pengguna yang membeli peralatan elektrik cekap tenaga.

 

Cukai plastik turut dicadang

Bagi menangani pencemaran plastik, SAM mencadangkan cukai dikenakan ke atas pengeluaran, pembuatan, penjualan, penggunaan dan pelupusan plastik sebagai langkah awal mengurangkan jumlah plastik yang dihasilkan, digunakan dan dibuang.

 

SAM turut mahu larangan terhadap produk dan pembungkusan plastik sekali guna yang bermasalah serta tidak diperlukan diperkenalkan dan dikuatkuasakan.

 

Selain itu, Meenakshi mahu kerajaan memberikan pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada organisasi alam sekitar bukan berasaskan keuntungan.

 

Katanya, organisasi berkenaan memainkan peranan penting dalam perlindungan alam sekitar dan usaha menangani perubahan iklim, selain banyak bergantung kepada sumber sendiri untuk menjalankan aktiviti mereka. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved