FAM harapkan ‘manis-manis’ Belanjawan 2027

LocalFootball
6 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: FAM harapkan ‘manis-manis’ Belanjawan 2027

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan pada Jumaat ini dapat memberi suntikan kewangan tambahan bagi merealisasikan ‘pelan biru’ baharu pembangunan buat sukan No. 1 negara itu.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan mengakui mentadbir pengurusan badan sukan bukan tugas mudah, justeru sokongan kewangan amat diperlukan bagi memastikan perancangan yang sedang dirangka dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.

Ab Ghani berkata, FAM ketika ini sedang memuktamadkan satu perancangan atau kertas kerja baharu yang bakal menjadi panduan hala tuju badan induk itu untuk jangka tempoh akan datang.

“Berkenaan belanjawan yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita juga di peringkat FAM dan badan sukan yang lain mengharapkan sesuatu.

“Dengan harapan agar dapat dibantu dari segi kewangan kerana ia bukan satu benda yang mudah untuk mentadbir badan sukan.

“Saya juga telah membentangkan dalam mesyuarat satu ‘framework’ ataupun ‘pathway’ untuk FAM, cuma saya tak boleh bentangkan lagi sebab kita akan lancarkan dalam masa terdekat.

“(Pelan) Ini melengkapi semua yang saya rasa amat penting untuk FAM. Mungkin kita lancarkan dalam tiga hingga empat bulan lagi,” katanya.

Menurut Ab Ghani, pelan tersebut bukan bermaksud FAM mengetepikan perancangan terdahulu, sebaliknya ia menjadi kesinambungan kepada F:30 yang kini sudah berada di peringkat akhir.

Sebagai rekod, program F:30 telah dilancarkan pada 2019 sebagai ‘roadmap’ pembangunan bola sepak negara menetapkan sasaran untuk Harimau Malaya kembali mengaum sebagai antara lima pasukan terbaik Asia menjelang 2030.

 

The post FAM harapkan ‘manis-manis’ Belanjawan 2027 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved