sarah15/10/2026 - 16:16 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt - Sektor peruncitan Malaysia berpotensi mencatat pertumbuhan lebih kukuh susulan peningkatan kuasa beli pengguna menerusi bantuan tunai Belanjawan 2027, namun kos operasi yang tinggi dan persaingan daripada platform e-dagang asing masih menjadi cabaran utama kepada perniagaan tempatan.
Presiden Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Liew Bin berkata, keberkesanan pelaksanaan langkah dalam belanjawan itu akan menentukan sejauh mana keyakinan pengguna dapat dipulihkan, jualan runcit ditingkatkan dan pertumbuhan industri dikekalkan dalam jangka panjang.
“Kesinambungan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka meningkatkan kuasa beli isi rumah, khususnya bagi barangan keperluan harian, sekali gus membantu merancakkan jualan dalam sektor peruncitan.
“Bagaimanapun, peningkatan bantuan kewangan tidak semestinya menjamin pertumbuhan menyeluruh sektor peruncitan kerana pengguna masih berdepan tekanan kos sara hidup yang mempengaruhi corak perbelanjaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, MRCA menggesa kerajaan memperluas rangkaian peniaga SARA dengan menyenaraikan lebih banyak kedai serbaneka, farmasi, pasar mini, pasar basah dan pasar raya supaya penerima bantuan mempunyai lebih banyak pilihan untuk berbelanja.
Dalam aspek kos perniagaan, Liew Bin berkata, penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 sebulan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak dapat mengurangkan tekanan kewangan terhadap pengusaha runcit yang turut menanggung kos sewa, utiliti, logistik dan inventori.
Menurutnya, kenaikan mendadak kos tenaga kerja boleh menjejaskan aliran tunai, pengambilan pekerja dan rancangan pengembangan perniagaan, justeru peningkatan gaji perlu diselaraskan dengan pertumbuhan produktiviti melalui pendigitalan, automasi dan latihan kemahiran.
MRCA turut menggesa kerajaan memperincikan kriteria pengecualian serta garis panduan pelaksanaan gaji minimum bagi memastikan pengusaha PKS dapat membuat perancangan kewangan dan operasi dengan lebih berkesan.
Mengenai cadangan Rang Undang-Undang E-Dagang, persatuan itu menegaskan kepentingan mewujudkan persaingan yang adil antara peruncit tempatan dan penjual asing, khususnya dari segi pematuhan cukai, keselamatan produk, perlindungan pengguna dan peraturan perdagangan.
"Kami tidak menentang pelaburan asing atau pertumbuhan e-dagang. Peruncitan dalam talian dan kedai fizikal boleh saling melengkapi untuk mengembangkan pasaran, tetapi persaingan mestilah adil," katanya.
MRCA turut mencadangkan supaya undang-undang baharu itu memperjelas tanggungjawab platform e-dagang dan peniaga, memperketat pengesahan penjual serta meningkatkan ketelusan cukai dan mekanisme penyelesaian pertikaian, di samping memperluas bantuan pendigitalan kepada PKS tempatan.
Liew Bin turut berkata, pertumbuhan sektor peruncitan yang mampan memerlukan akses pembiayaan lebih luas, penggunaan kecerdasan buatan (AI), pembangunan jenama tempatan dan peningkatan produktiviti, selain memastikan dasar kerajaan benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan jualan, pelaburan swasta serta peluang pekerjaan. - DagangNews.com





